RAHASIA
SUFI
(Sirrul Assrar - Karya : Syeikh Abdul Qadir Jailani)
1: UCAPAN UNTUK PARA PEMBACA
(Petikan surat Syeikh Abdul
Qadir al-Jilani)
Sahabat-sahabatku yang dikasihi.
Hati kamu adalah seumpama cermin yang berkilat. Kamu mesti membersihkannya
daripada debu dan kekotoran yang menutupinya. Cermin hati kamu itu telah
ditakdirkan untuk memancarkan cahaya rahsia-rahsia Ilahi.
Bila cahaya dari “ Allah
adalah cahaya bagi semua langit dan bumi… ” mula menyinari
ruang hati kamu, lampu hati kamu akan menyala. Lampu hati itu “berada di dalam
kaca, kaca itu sifatnya seumpama bintang berkilau-kilauan terang benderang…”
Kemudian kepada hati itu anak panah penemuan-penemuan suci akan hinggap. Anak
panah kilat akan mengeluarkan daripada awan petir maksud “bukan dari timur atau
barat, dinyalakan dari pohon zaitun yang diberkati…” dan memancarkan cahaya ke
atas pokok penemuan, sangat tulen, sangat lutsinar sehingga ia “memancarkan
cahaya walaupun tidak disentuh oleh api”. Kemudian lampu makrifat (hikmah
kebijaksanaan) akan menyala sendiri. Mana mungkin ia tidak menyala sedangkan
cahaya rahsia Allah menyinarinya?
Sekiranya cahaya rahasia Ilahi
bersinar ke atasnya, langit malam kepada rahsia-rahsia akan menjadi terang oleh
ribuan bintang-bintang “…dan berpandukan bintang-bintang (kamu) temui
jalan (kamu)…” . Bukanlah bintang yang memandu kita tetapi
cahaya Ilahi. Lantaran Allah “…menghiaskan langit rendah dengan keindahan
bintang-bintang”. Sekiranya lampu rahsia-rahsia Ilahi dinyalakan di dalam diri
batin kamu yang lain akan datang secara sekaligus atau beransur-ansur.
Sebahagiannya kamu telah ketahui sebahagian yang lain akan kami beritahu di
sini. Baca, dengar, cuba fahamkan. Langit ketidaksedaran (kelalaian) yang gelap
akan dinyalakan oleh kehadiran Ilahi dan kedamaian serta keindahan bulan
purnama yang akan naik dari ufuk langit memancarkan “cahaya di atas cahaya”
berterusan meninggi di langit, melepasi peringkat yang ditentukan sebagaimana
yang Allah telah tentukan bagi kerajaan-Nya, sehingga ia bersinar penuh
kemuliaan di tengah-tengah langit, menghambat kegelapan kelalaian. “(Aku
bersumpah) demi malam apabila ia senyap sepi…dengan cuaca pagi yang cemerlang…”
malam ketidaksedaran kamu akan melihat terangnya hari siang. Kemudian kamu akan
menghirup air wangi kenangan dan “bertaubat di awal pagi” terhadap
ketidaksedaran (kelalaian) dan menyesali umur kamu yang dihabiskan di dalam
lena. Kamu akan mendengar nyanyian burung bulbul di pagi hari dan kamu akan
mendengarnya berkata:
Mereka tidur sedikit sahaja
di malam hari dan pada awal pagi mereka memohon keampunan Allah Allah
bimbangkan kepada cahaya-Nya sesiapa yang Dia kehendaki.
Kemudian kamu akan melihat di
ufuk langit peraturan Ilahi akan matahari ilmu batin mula terbit. Ia adalah
matahari kamu sendiri, Lantaran kamu adalah “yang Allah beri petunjuk” dan
kamu “berada pada jalan yang benar” dan bukan “mereka yang Dia tinggalkan di
dalam kesesatan”. Dan kamu akan memahami rahsia:
Tidak diizinkan matahari mengejar bulan
dan tidak pula malam mendahului siang. Tiap sesuatu berjalan pada landasan
(masing-masing).
Akhirnya ikatan akan terurai
selaras dengan “perumpamaan yang Allah adakan untuk insan dan Allah mengetahui
tiap sesuatu”, dan tabir-tabir akan terangkat dan kulit akan pecah, mendedahkan
yang seni di bawah pada yang kasar. Kebenaran akan membuka tutupan mukanya.
Semua ini akan bermula bila
cermin hati kamu dipersucikan. Cahaya rahsia-rahsia Ilahi akan memancar Padanya
jika kamu berhajat dan bermohon kepada-Nya, daripada-Nya, dengan-Nya.
0 comments:
Post a Comment