5: PENURUNAN MANUSIA KE PERINGKAT RENDAH YANG
PALING BAWAH
Allah Yang Maha Tinggi
menciptakan roh suci sebagai ciptaan yang paling sempurna ,
yang pertama diciptakan, di dalam alam kewujudan mutlak bagi Zat-Nya. Kemudian
Dia berkehendak menghantarkannya kepada alam rendah. Tujuan
Dia berbuat demikian ialah bagi mengajar roh suci mencari jalan kembali kepada
yang sebenar di tahap Maha Kuasa, mencari kedudukannya yang dahulu yang hampir
dan akrab dengan Allah. Dihantarkan-Nya roh suci kepada
perhentian utusan-utusan-Nya, wali-wali-Nya, kekasih-kekasih dan
sahabat-sahabat-Nya. Dalam perjalanannya, Allah menghantarkannya mula-mula
kepada kedudukan akal asbab bagi keesaan, bagi roh universal, alam nama-nama
dan sifat-sifat Ilahi, alam hakikat kepada Muhammad s.a.w. Roh suci memiliki
dan membawa bersama-samanya benih kesatuan. Apabila melalui alam ini ia
dipakaikan cahaya suci dan dinamakan ‘roh sultan'. Apaabila melalui alam
malaikat yang menjadi perantaraan kepada mimpi-mimpi, ia mendapat nama ‘roh
perpindahan'. Bila akhirnya ia turun kepada dunia kebendaan ini ia dibaluti
dengan daging yang Allah ciptakan untuk kesesuaian makhluk-Nya. Ia dibaluti
oleh jirim yang kasar bagi menyelamatkan dunia ini kerana dunia kebendaan jika
berhubung secara langsung dengan roh suci maka dunia kebendaan akan terbakar
menjadi abu. Dalam hubungannya dengan dunia ini ia dikenali sebagai kehidupan,
roh manusia.
Tujuan roh suci dihantar ke
tempat ciptaan yang paling rendah ini ialah supaya ia mencari jalan kembali
kepada kedudukannya yang asal, makam kehampiran, ketika ia masih di dalam
bentuk berdaging dan bertulang ini. Ia sepatutnya datang ke alam benda yang
kasar ini, dan dengan melalui hatinya yang berada di dalam mayat ini,
menanamkan benih kesatuan dan menunbuhkan pokok keesaan di dalam dunia ini.
Akar pokok masih berada pada tempat asalnya. Dahannya memenuhi ruang
kebahagiaan, dan di sana demi keredaan Allah, mengeluarkan buah kesatuan.
Kemudian di dalam bumi hati roh itu menanamkan benih agama dan bercita-cita
menumbuhkan pokok agama agar diperolehi buahnya, tiap satunya akan menaikkannya
kepada peringkat yang lebih hampir dengan Allah.
Allah membuatkan jasad-jasad atau
tubuh-tubuh untuk dimasuki oleh roh-roh dan bagi roh-roh ini masing-masing
mempunyai nama yang berbeza-beza. Dia bena ruang penyesuaian di dalam tubuh.
Diletakkan-Nya roh manusia, roh kehidupan di antara daging dan darah.
Diletakkan-Nya roh suci di tengah-tengah hati, di mana dibena ruang bagi jirim
yang sangat seni untuk menyimpan rahasia di antara Allah dengan hamba-Nya.
Roh-roh ini berada pada tempat yang berbeda-beda dalam tubuh, dengan tugas yang
berbeda, urusan yang berbeda, masing-masing umpama membeli dan menjual barang
yang berlainan, mendapat faedah yang berbeda. Perniagaan mereka sentiasa
membawakan kepada mereka banyak manfaat dalam bentuk nikmati dan rahmat Allah. “Daripada
apa yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terang,
(mereka) mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi”. (Surah Fatir, ayat 29).
Layaklah bagi setiap manusia mengetahui
urusannya di dalam alam kewujudan dirinya sendiri dan memahami tujuannya. Dia
mestilah faham bahawa dia tidak boleh meminda apa yang telah dihukumkan sebagai
benar untuknya dan digantungkan dilehernya. Bagi orang yang mahu meminda apa
yang telah dihukumkan untuknya, yang terikat dengan cita-cita dan dunia ini
Allah berkata: “Tidaklah (mahu) dia ketahui (bagaimana
keadaan) apabila dibongkarkan apa-apa yang di dalam kubur? Dan dizahirkan
apa-apa yang di dalam dada?” (Surah ‘Aadiyat, ayat 9). “Dan tiap-tiap manusia
Kami gantungkan (catatan) amalannya pada tengkuknya…” (Surah Bani Israil, ayat
13).
0 comments:
Post a Comment