15: DARWIS (SUFI)
Ada satu golongan yang dikenali
sebagai sufi. Empat tafsiran diberikan kepada istilah sufi. Ada yang melihatnya
pada keadaan zahir mereka memakai baju bulu yang kasar. Bulu dalam bahasa Arab
ialah suf. Dari perkataan ini mereka dipanggil sufi. Yang lain melihat kepada
kehidupan mereka yang bebas daripada kekacauan dunia ini serta kedamaian dan
ketenteraman mereka, keadaan yang sesuai dengan bahasa Arab safa. Daripada
perkataan safa itu timbul istilah sufi. Yang lain pula memandang lebih
mendalam, kepada hati mereka yang suci murni dan bebas daripada apa sahaja
kecuali Zat Allah. Dalam bahasa Arab safi bererti kesucian hati dan dari
perkataan itu dikatakan timbul istilah sufi. Yang lain memanggil mereka sufi kerana
mereka hampir dengan Allah dan akan berdiri di barisan pertama di hadapan Allah
pada hari kiamat. Safi dalam bahasa Arab bermakna barisan.
Terdapat empat
alam , empat dunia . Pertama
ialah alam atau dunia jirim - tanah, air, api dan angin merupakan
jirim dalam alam ini. Kedua ialah alam makhluk rohani - malaikat,
jin, mimpi dan kematian , ganjaran Allah - lapan syurga dan
keadilan Allah - tujuh neraka. Ketiga ialah alam huruf, nama-nama indah bagi
sifat-sifat Allah, dan Loh Tersembunyi (Loh Mahfuz) yang menjadi sumber kepada
perintah-perintah Allah . Keempat ialah alam Zat Allah Yang Maha Suci,
alam yang tidak boleh digambarkan atau dihuraikan kerana pada alam ini atau
tahap ini tidak ada perkataan, nama-nama, sifat-sifat atau persamaan. Tiada
siapa kecuali Allah mengetahuinya.
Terdapat pula empat jenis ilmu.
Pertama ilmu tentang peraturan-peraturan Allah, dan berhubung dengan aspek
lahir kehidupan dunia ini. Kedua ialah ilmu kerohanian, pengetahuan batin
tentang sebab dan akibat. Ketiga ialah ilmu tentang jiwa, roh, mengenal diri
dan melaluinya pengetahuan tentang ketuhanan diperolehi. Akhirnya ilmu tentang
kebenaran atau hakikat.
Roh juga ada empat jenis, roh
kebendaan, roh yang arif, roh yang memerintah (roh sultan) dan roh kudus (roh
suci).
Yang zahir, kenyataan bagi
Pencipta, juga ada empat jenis. Pertama ialah kenyataan di dalam rupa, bentuk,
warna, seumpama gubahan-Nya. Kedua ialah kenyataan perbuatan dan tindak balas
dalam perkara yang berlaku. Ketiga ialah kenyataan dalam sifat-sifat,
bakat-bakat, perangai-perangai sesuatu. Akhirnya kenyataan bagi zat-Nya.
Akal atau daya menimbang juga ada
empat jenis: akal yang menguruskan soal-soal kehidupan duniawi, akal yang
menimbang dan memikirkan soal-soal akhirat, akal bagi roh yang bertugas dalam
bidang makrifat dan akhirnya akal yang meliputi.
Perkara yang dibincangkan juga
ada empat jenis. Empat jenis ilmu, empat jenis roh, empat jenis penzahiran
(kenyataan) dan empat jenis akal. Ada orang yang berada pada tahap pertama
ilmu, roh, kenyataan dan akal. Mereka adalah penghuni syurga pertama yang
dipanggil syurga yang menjadi tempat kembali yang mensejahterakan, iaitu syurga
keduniaan. Mereka yang berada pada tahap kedua ilmu, roh, kenyataan dan akal
tergolong ke dalam syurga yang lebih tinggi, taman kesukaan dan kesenangan
kurniaan Allah kepada makhluk-Nya, syurga di dalam alam malaikat.. Sebahagian
manusia yang mencapai tahap ketiga ilmu, roh, kenyataan dan akal (makrifat)
berada di dalam syurga peringkat ketiga, syurga langit-langit, syurga nama-nama
dan sifat-sifat Ilahi dalam alam keesaan.
Namun, mereka yang mencari dan
terikat dengan ganjaran Allah, walaupun syurga, tidak dapat melihat hakikat
sebenar dalam diri mereka dan dalam benda-benda di sekeliling mereka. Mereka
yang arif, yang mencari hakikat, mereka yang mencapai suasana sebenar sufi,
suasana keinginan menyeluruh - tidak inginkan sesuatu apa pun kecuali Allah,
berhajat kepada Allah sahaja - meninggalkan segala-galanya dan tidak mencari
apa-apa kecuali yang hak. Mereka temui apa yang mereka cari dan masuk ke dalam
alam yang hak, dan kehampiran dengan Allah, dan hidup semata-mata kerana Zat
Allah, tidak kerana yang lain.
Ini sesuai dengan perintah Allah,
"Carilah
keselamatan dengan Allah" dan ikut nasihat Nabi s.a.w, "Kedua-dua
dunia dan akhirat terlarang bagi orang yang mencintai Allah" .
Nabi s.a.w tidak memaksudkan kedua-dua dunia dan akhirat dihukumkan haram. Apa
yang baginda maksudkan ialah orang yang berkehendak menemui Allah menyekat
keinginan hawa nafsunya, egonya, kasih sayang dan cita-citanya kepada dunia dan
akhirat.
Pencari yang hak memberi alasan:
Dunia ini adalah ciptaan dan kita juga ciptaan. Semua yang dicipta berhajat
kepada Pencipta. Bagaimana mungkin yang berhajat meminta kepada yang berhajat
juga. Apa lagi jalan bagi yang diciptakan kecuali mencari Pencipta.
Allah berfirman melalui
Rasul-Nya, "Kecintaan-Ku, Wujud-Ku, adalah kecintaan mereka
kepada-Ku".
Nabi s.a.w bersabda, "Keadaanku
yang sangat berhajat, kemiskinanku, adalah kemegahanku" . Keadaan
yang sangat berhajat dan kecintaan kepada Allah menjadi asas kepada pencarian
sufi. Keadaan kemiskinan yang menjadi kebanggaan Nabi s.a.w bukanlah kekurangan
sesuatu berbentuk keduniaan atau kebendaan. Ia adalah pelepasan segala-galanya
kecuali keinginan kepada Zat Allah. Ia adalah segala sesuatu- bukan sahaja yang
di dalam dunia ini, malah yang dijanjikan di akhirat juga - dan lantaran itu
suasana berhajat sepenuhnya untuk dipersembahkan kepada Allah.
Inilah keadaan yang membawa
seseorang kepada kekosongan atau ketiadaan diri, lenyap di dalam zat Allah. Ia
adalah mengosongkan diri seseorang daripada apa sahaja kecuali cinta Allah.
Kemudian hati menjadi bernilai atau layak untuk menerima janji Allah, "Aku
tidak dapat ditanggung oleh langit dan bumi tetapi layak ditanggung oleh hati
hamba-hamba-Ku yang beriman".
Hamba yang beriman adalah yang
melepaskan apa sahaja kecuali Yang Esa dari hatinya. Bila hati sudah disucikan,
Allah melapangkannya dan memuatkan Diri-Nya ke dalamnya. Bayazid Bustami
menggambarkan keluasan hatinya dengan katanya, "Jika segala yang maujud di
dalam dan di sekeliling arasy, keluasan semua ciptaan Allah, diletakkan di
penjuru hati manusia sempurna dia tidak akan merasai beratnya".
Begitulah keadaan kekasih Allah.
Kasihilah mereka dan sentiasalah bersama mereka kerana yang mencintai akan
bersama-sama yang dicintai pada hari akhirat nanti. Tanda kecintaan itu ialah
mencari kehadiran bersama-sama mereka, berkehendak mendengar perkataan mereka,
dan dengan pandangan serta perkataan mereka, dapat merasakan kerinduan terhadap
Allah Yang Maha Tinggi.
Allah berfirman melalui Nabi-Nya,
"Aku
merasai kerinduan para hamba-Ku yang beriman, yang baik-baik, hamba yang
sejati, terhadap Diri-Ku dan Aku juga merindui mereka".
Kekasih Allah kelihatan berbeza
daripada orang lain, kelakuan dan tindakan mereka juga berbeza. Pada peringkat
permulaan, ketika masih baharu, tindakan mereka kelihatan seimbang antara baik
dengan buruk. Bila mereka maju lagi dan sampai kepada peringkat pertengahan,
perbuatan mereka penuh dengan manfaat. Dalam semua hal kebaikan yang keluar
melalui mereka bukan sahaja dalam ketaatan mereka mematuhi perintah Allah dan
peraturan agama, tetapi juga dalam perbuatan yang mengandungi puncak
kebahagiaan dan bersinar dengan cahaya kepada maksud bagi yang zahir.
Mereka seolah-olah dipakaikan
dengan pakaian daripada cahaya yang berwarna warni yang memancar daripada
mereka menurut makam mereka.
Apabila mereka dapat mengalahkan
ego mereka dan kejahatan nafsu yang rendah dengan berkat kalimah tauhid "La
ilaha illa Llah" dan sampai kepada kewujudan yang boleh
membezakan antara yang hak dengan yang batil, yang benar dengan yang salah,
cahaya biru langit memancar keluar daripada mereka.
Bila dalam peringkat tersebut,
dengan pertolongan dan ilham dari Allah, mereka berpindah sepenuhnya ke dalam
kebaikan dan meninggalkan kejahatan keseluruhannya, cahaya merah membungkus
atau membaluti mereka.
Dengan berkata nama Allah -
HU - nama itu tiada yang lain kecuali yang hak dapat menceritakannya, mereka
sampai kepada peringkat dipersucikan daripada segala sifat-sifat keji dan
perbuatan jahat dan menemui suasana tenang dan aman, kemudian cahaya hijau
keluar daripada mereka.
Bila semua ego dan keinginan,
bila semua kehendak diri sendiri dihapuskan melalui berkat HAQ, yang
sebenarnya, dan bila mereka menyerahkan kehendak mereka kepada kehendak Allah
dan reda dengan apa juga yang datang daripada-Nya, warna mereka berubah menjadi
cahaya putih.
Inilah gambaran orang-orang sufi
daripada peringkat permulaan mereka di dalam perjalanan sampailah kepada peringkat
pertengahan. Tetapi seseorang yang sampai kepada perbatasan peringkat ini tidak
mempunyai bentuk atau warna. Dia menjadi seolah-olah sinaran cahaya matahari.
Cahaya matahari tidak berwarna. Sufi yang sampai kepada makam yang paling
tinggi tidak mempunyai kewujudan untuk membalikkan cahaya atau warna. Jika ada,
warnanya ialah hitam, yang menyerap semua warna. Inilah tanda keadaan fana
Orang ramai yang melihat
kepadanya, keadaan yang tiada warna ini, kelihatan gelap, menjadi tabir
menutupi cahaya makrifat yang dia miliki, seperti malam menutupi sinaran
matahari. Allah berfirman: "Dan Kami jadikan malam itu (sebagai)
pakaian. Dan Kami jadikan siang itu tempat penghidupan". (Surah Nabaa,
ayat 10 & 11).
Bagi mereka yang sampai kepada
hakikat atau intipati akal dan ilmu, ada tanda dalam ayat di atas.
Mereka yang sampai kepada
kebenaran (hakikat) ketika di dalam dunia ini merasakan seolah-olah di
penjarakan di sini di dalam bilik kurungan di bawah tanah yang gelap. Mereka
menghabiskan hayat mereka di dalam kesusahan dan kesengsaraan. Mereka
menanggung kesusahan yang besar, tekanan-tekanan keadaan, di dalam dunia yang
gelap sepenuhnya. Nabi s.a.w bersabda, "Dunia ini adalah penjara bagi orang
beriman" . Seperti yang baginda s.a.w khabarkan percubaan
yang paling besar menimpa para nabi, kemudian yang hampir dengan Allah,
kemudian dengan kadar menurun mengikut kadar seseorang itu mahu
menghampiri Allah. Jadi, adalah sesuai bagi sufi memakai pakaian hitam dan
mengikat serban hitam di kepalanya, kerana ia adalah pakaian orang yang
bersedia menempuh kesusahan dan kesakitan di dalam perjalanan ini.
Di dalam kenyataan, hitam adalah
pakaian paling sesuai bagi mereka yang berkabung kerana kehilangan kemanusiaan
dan kewujudan diri mereka. Ramai manusia yang kehilangan anugerah yang berharga
kerana kecuaian, sesuai hanya untuk kemanusiaan, bagi mereka yang sedar, bagi
yang boleh melihat kebenaran, enggan itu membunuh kehidupan abadi dengan tangan
mereka sendiri. Membuang kasih Ilahi yang kerinduan di dalam hati mereka, memisahkan
diri mereka enggan roh suci, mereka hilang kesempatan untuk kembali kepada asal
mereka, kepada penyebab. Walaupun mereka tidak mengetahuinya, merekalah yang
menderita bala yang paling besar. Jika mereka sedar yang mereka sudah
kehilangan segala nikmat akhirat, kehidupan abadi, mereka tentunya memakai
pakaian hitam, pakaian berkabung. Janda yang kematian suami berkabung selama
empat bulan sepuluh hari. Ini adalah berkabung kerana kehilangan sesuatu di
dalam dunia. Orang yang kehilangan kebaikan hidup yang abadi seharusnya
berkabung secara abadi juga.
Nabi s.a.w bersabda, "Mereka
yang ikhlas sentiasa berada di tepi bahaya besar" . Betapa
tepat gambaran ini mengenai orang yang terpaksa berjalan berjingkit-jingkit
dengan penuh kewaspadaan! Tetapi inilah suasana sufi yang meninggalkan
kewujudan dirinya dan berada di dalam alam fana. Kefakirannya terhadap dunia
ini yang ditinggalkannya dan hajatnya yang penuh kepada Allah sangat besar, dan
dia melepasi kemanusiaan sebagai keindahan yang bersangatan.
Mereka yang memperolehi
penyaksian kepada yang hak, setelah menyaksikan keindahan kebenaran itu, tidak
ingin melihat yang lain lagi. Mereka tidak boleh melihat kecintaan dan
kerinduan kepada apa sahaja. Bagi mereka, Allah jualah yang menjadi yang
dikasihi, hanya Dia yang wujud. Begitulah keadaan mereka di dalam kedua-dua
alam. Itulah satu-satunya matlamat mereka. Akhirnya mereka menjadi insan, dan
Allah ciptakan insan supaya mengenali-Nya, supaya mencapai Zat-Nya.
Menjadi kewajipan bagi setiap
orang untuk mencari dan mengenali atau mengetahui tujuan dia diciptakan dan
menghayati maksud tujuan tersebut, kewajipan yang mereka tanggung di dalam
dunia ini dan di akhirat, supaya mereka tidak habiskan usia mereka di dalam
kerugian, agar mereka tidak menyesal selama-lamanya di akhirat - dibungkus,
lemas di dalam kerinduan yang akan mereka sedari akhirnya di dalam penyesalan
yang abadi.
0 comments:
Post a Comment