4: MANUSIA KEMBALI KE KAMPUNG HALAMAN, KEPADA
ASAL USUL / PERMULAAN MEREKA
Manusia dipandang daripada dua
sudut; wujud lahiriah dan wujud rohani. Dalam segi kewujudan lahiriah keadaan
kebanyakan manusia adalah berlebih kurang saja di antara satu sama lain. Oleh
yang demikian peraturan kemanusiaan yang umum boleh digunakan untuk sekalian
manusia bagi urusan lahiriah mereka. Dalam sudut kewujudan rohani yang
tersembunyi di sebalik wujud lahiriah, setiap manusia adalah berbeda. Jadi,
peraturan yang khusus mengenai diri masing-masing diperlukan.
Manusia boleh kembali kepada
asalnya dengan mengikuti peraturan umum, dengan mengambil langkah-langkah
tertentu. Dia mestilah mengambil peraturan agama yang jelas dan mematuhinya.
Dengan demikian dia boleh maju ke hadapan. Dia boleh meningkat dari satu
peringkat kepada peringkat yang lebih tinggi sehingga dia sampai dan memasuki
jalan atau peringkat kerohanian, masuk ke daerah makrifat. Peringkat ini sangat
tinggi dan dipuji oleh Rasulullah s.a.w, “ Ada suasana yang semua dan segala-galanya
berkumpul di sana dan ia adalah makrifat yang murni”.
Untuk sampai ke peringkat
tersebut Perlulah dibuang kepura-puraan dan kepalsuan yang melakukan kebaikan
kerana menunjuk-nunjuk. Kemudian dia perlu menetapkan tiga matlamat. Tiga
matlamat tersebut sebenarnya adalah tiga jenis syurga. Yang pertama dinamakan
Ma'wa – syurga tempat kediaman yang aman. Ia adalah syurga duniawi. Kedua,
Na'im – taman keredaan Allah dan kurniaan-Nya kepada makhluk-Nya. Ia adalah
syurga di dalam alam malaikat. Ketiga dinamakan Firdaus – syurga alam tinggi.
Ia adalah syurga pada alam kesatuan akal asbab, rumah kediaman bagi roh-roh,
medan bagi nama-nama dan sifat-sifat. Kesemua ini adalah balasan yang baik, keelokan
Allah yang manusia berjasad akan nikmati dalam usahanya sepanjang tiga
peringkat ilmu pengetahuan yang berturut-turut; usaha mematuhi peraturan
syariat; usaha menghapuskan yang berbilang-bilang pada dirinya, melawan
penyebab yang menimbulkan suasana berbilang-bilang itu, iaitu ego diri sendiri,
bagi mencapai peringkat penyatuan dan kehampiran dengan Pencipta; akhirnya
usaha untuk mencapai makrifat, di mana dia mengenali Tuhannya. Peringkat
pertama dinamakan syariat, kedua tarekat dan ketiga makrifat.
Nabi Muhammad s.a.w menyimpulkan
keadaan-keadaan tersebut dengan sabda baginda s.a.w, “ Ada suasana di mana
semua dan segala-galanya dikumpulkan dan ia adalah hikmah kebijaksanaan
(makrifat)”. Baginda s.a.w juga bersabda, “Dengannya seseorang mengetahui kebenaran
(hakikat), yang berkumpul di dalamnya sebab-sebab dan semua kebaikan. Kemudian
seseorang itu mesti bertindak atas kebenaran (hakikat) tersebut. Dia juga perlu
mengenali kepalsuan dan bertindak ke atasnya dengan meninggalkan segala yang
demikian”. Baginda s.a.w mendoakan, “Ya
Allah, tunjukkan kepada kami yang benar dan jadikan pilihan kami mengikuti yang
benar itu. Dan juga tunjukkan kepada kami yang tidak benar dan permudahkan kami
meninggalkannya”. Orang yang kenal dirinya dan menentang
keinginannya yang salah dengan segala kekuatannya akan sampai kepada mengenali
Tuhannya dan akan menjadi taat kepada kehendak-Nya.
Semua ini adalah peraturan umum
yang mengenai diri zahir manusia. Kemudian ada pula aspek diri rohani atau diri
batin manusia yang merupakan insan yang tulen, suci bersih dan murni. Maksud
dan tujuan diri ini hanya satu iaitu kehampiran secara keseluruhan kepada Allah
s.w.t. Satu cara sahaja untuk mencapai suasana yang demikian, iaitu pengetahuan
tentang yang sebenarnya (hakikat). Di dalam daerah wujud penyatuan mutlak,
pengetahuan ini dinamakan kesatuan atau keesaan.
Matlamat pada jalan tersebut
harus diperolehi di dalam kehidupan ini. Di dalam suasana itu tiada beza di
antara tidur dengan jaga kerana di dalam tidur roh berkesempatan membebaskan
dirinya untuk kembali kepada asalnya, alam arwah, dan dari sana kembali semula
ke sini dengan membawa berita-berita dari alam ghaib. Fenomena ini dinamakan
mimpi. Dalam keadaan mimpi ia berlaku secara sebahagian-bahagian. Ia juga boleh
berlaku secara menyeluruh seperti israk dan mikraj Rasulullah s.a.w. Allah
berfirman: “Allah memegang jiwa-jiwa ketika matinya dan yang tidak mati, dalam
tidurnya, lalu Dia tahan yang dihukumkan mati atasnya dan Dia lepaskan yang
lain”. (Surah Zumaar, ayat 42).
Nabi s.a.w bersabda, “Tidur
orang alim lebih baik daripada ibadat orang jahil” . Orang
alim adalah orang yang telah memperolehi pengetahuan tentang hakikat atau yang
sebenar, yang tidak berhuruf, tidak bersuara. Pengetahuan demikian diperolehi
dengan terus menerus berzikir nama keesaan Yang Maha Suci dengan lidah rahsia.
Orang alim adalah orang yang zat dirinya ditukarkan kepada cahaya suci oleh
cahaya keesaan. Allah berfirman melalui rasul-Nya: “Insan
adalah rahsia-Ku dan Aku rahsianya. Pengetahuan batin tentang hakikat roh
adalah rahsia kepada rahsia-rahsia-Ku. Aku campakkan ke dalam hati
hamba-hamba-Ku yang baik-baik dan tiada siapa tahu Keadaannya melainkan Aku.”
“Aku adalah sebagaimana
hamba-Ku mengenali Daku. Bila dia mencari-Ku dan ingat kepada-Ku, Aku besertanya.
Jika dia mencari-Ku di dalam, Aku mendapatkannya dengan Zat-Ku. Jika dia ingat
dan menyebut-Ku di dalam jemaah yang baik, Aku ingat dan menyebutnya di dalam
jemaah yang lebih baik”.
Segala yang dikatakan di sini
jika berhasrat mencapainya perlulah melakukan tafakur – cara mendapatkaan
pengetahuan yang demikian jarang digunakan oleh orang ramai. Nabi s.a.w
bersabda, “Satu saat bertafakur lebih bernilai daripada satu tahun
beribadat”. “Satu saat bertafakur lebih bernilai daripada tujuh puluh tahun beribadat”.
“Satu saat bertafakur lebih bernilai daripada seribu tahun beribadat”.
Nilai sesuatu amalan itu
tersembunyi di dalam hakikat kepada yang sebenarnya. Perbuatan bertafakur di
sini nampaknya mempunyai nilai yang berbeda.
Sesiapa merenungi sesuatu perkara
dan mencari penyebabnya dia akan mendapati setiap bahagian mempunyai
bahagian-bahagian sendiri dan dia juga mendapati setiap satu itu menjadi
penyebab kepada berbagai-bagai perkara lain. Renungan begini bernilai satu
tahun ibadat.
Sesiapa merenungi kepada
pengabdiannya dan mencari penyebab dan alasan dan dia dapat mengetahui yang
demikian, renungannya bernilai lebih daripada tujuh puluh tahun ibadat.
Sesiapa merenungkan hikmah
kebijaksanaan Ilahi dan bidang makrifat dengan segala kesungguhannya untuk mengenal
Allah Yang Maha Tinggi, renungannya bernilai lebih daripada seribu tahun ibadat
kerana ini adalah ilmu pengetahuan yang sebenarnya.
Pengetahuan yang sebenarnya
adalah suasana keesaan. Orang arif yang menyintai menyatu dengan yang
dicintainya. Daripada alam kebendaan terbang dengan sayap kerohanian meninggi
hingga kepada puncak pencapaian. Bagi ahli ibadat berjalan di dalam syurga,
sementara orang arif terbang kepada kedudukan berhampiran dengan Tuhannya.
Para pencinta mempunyai mata pada hati mereka mereka memandang
sementara yang lain terpejam sayap yang mereka miliki tanpa daging tanpa
darah mereka terbang ke arah malaikat Tuhan jualah yang dicari!
Penerbangan ini terjadi di dalam
alam kerohanian orang arif. Para arifbillah mendapat penghormatan dipanggil
insan sejati, menjadi kekasih Allah, sahabat-Nya yang akrab, pengantin-Nya.
Bayazid al-Bustami berkata, “Para Pemegang makrifat adalah pengantin Allah Yang
Maha Tinggi”.
Hanya pemilik-pemilik ‘pengantin
yang pengasih' mengenali mereka dengan dekat dan secara mesra.. Orang-orang
arif yang menjadi sahabat akrab Allah, walaupun sangat cantik, tetapi ditutupi
oleh keadaan luaran yang sangat sederhana, seperti manusia biasa. Allah
berfirman melalui rasul-Nya: “ Para sahabat-Ku tersembunyi di bawah kubah-Ku.
Tiada yang mengenali mereka kecuali Aku”.
Kubah yang di bawahnya Allah
sembunyikan sahabat-sahabat akrab-Nya adalah keadaan mereka yang tidak
terkenal, rupa yang biasa sahaja, sederhana dalam segala hal. Bila
melihat kepada pengantin yang ditutupi oleh tabir perkahwinan, apakah yang
dapat dilihat kecuali tabir itu?
Yahya bin Muadh al-Razi berkata,
“ Para kekasih Allah adalah air wangi Allah di dalam dunia. Tetapi hanya
orang-orang yang beriman yang benar dan jujur sahaja dapat menciumnya”. Mereka
mencium keharuman baunya lalu mereka mengikuti bau itu. Keharuman itu
mengwujudkan kerinduan terhadap Allah dalam hati mereka. Masing-masing dengan
cara tersendiri mempercepatkan langkahnya, menambahkan usaha dan ketaatannya.
Darjah kerinduannya, keinginannya dan kelajuan perjalanannya bergantung kepada
berapa ringan beban yang dibawanya, sejauh mana dia telah melepaskan diri
kebendaan dan keduniaannya. Semakin banyak seseorang itu menanggalkan pakaian
dunia yang kasar ini semakin dia merasakan kehangatan. Penciptanya dan semakin
hampirlah kepada permukaan akan muncul diri rohaninya. Kehampiran dengan
yang sebenar (hakikat) bergantung kepada sejauh mana seseorang itu melepaskan
kebendaan dan keduniaan yang menipu daya.
Penanggalan aspek yang berbilang-bilang
pada diri membawa seseorang hampir dengan satu-satunya kebenaran. Orang yang
akrab dengan Allah adalah orang yang telah membawa dirinya kepada keadaan
kekosongan. Hanya selepas itu baharulah dia dapat melihat kewujudan yang
sebenarnya (hakikat). Tidak ada lagi kehendak pada dirinya untuk dia membuat
sebarang pilihan. Tiada lagi ‘aku' yang tinggal, kecuali kewujudan satu-satunya
iaitu yang sebenarnya (hakikat). Walaupun berbagai-bagai kekeramatan yang
muncul melalui dirinya sebagai membuktikan kedudukannya, dia tidak ada kena
mengena dengan semua itu. Di dalam suasananya tidak ada pembukaan terhadap
rahsia-rahsia kerana membuka rahsia Ilahi adalah kekufuran.
Di dalam buku yang bertajuk
“Mirsad” ada dituliskan, ‘Semua orang yang kekeramatan zahir melalui mereka
adalah ditutup daripadanya dan tidak memperdulikan keadaan tersebut. Bagi
mereka masa kekeramatan muncul melalui mereka dianggap sebagai masa perempuan
keluar darah haid. Wali-wali yang hampir dengan Allah perlu mengembara
sekurang-kurangnya seribu peringkat, yang pertamanya ialah pintu kekeramatan.
Hanya mereka yang dapat melepasi pintu ini tanpa dicederakan akan meningkat
kepada peringkat-peringkat lain yang lebih tinggi. Jika mereka leka mereka
tidak akan sampai ke mana-mana.
0 comments:
Post a Comment