25: MIMPI-MIMPI
Mimpi yang dimimpikan di antara
masa seseorang hampir lena hingga dia tidur lena adalah benar dan berfaedah.
Mimpi-mimpi ini selalunya merupakan pembawa pembukaan dan perantaraan kepada
yang luar biasa. Bukti kebenaran mimpi dinyatakan oleh Allah dengan firman-Nya:
“Sesungguhnya
Allah akan buktikan mimpi itu benar kepada Rasul-Nya, kamu akan masuk Masjidil
Haram jika dikehendaki Allah dengan aman”. (Surah al-Fath, ayat 27).
Dan memang benar Nabi s.a.w
memasuki kota Makkah yang masih dikuasai oleh musuh-0musuh baginda, tahun
sesudah baginda bermimpi. Contoh lain ialah mimpi Nabi Yusuf a.s: “Tatkala
Yusuf berkata kepada bapanya, ‘Wahai bapaku, sesungguhnya aku melihat sebelas
bintang dan matahari serta bulan – aku lihat – bersujud kepadaku”. (Surah
Yusuf, ayat 4).
Nabi s.a.w bersabda, “ Tidak
ada nabi yang datang selepas aku tetapi boleh datang pembukaan-pembukaan yang
lain. Orang yang beriman akan melihat pembukaan itu dalam mimpi mereka atau
pembukaan itu akan ditunjukkan kepada mereka menerusi mimpi”. “Bagi
mereka pembukaan tentang khabar baik dalam dunia ini dan di akhirat”. (Surah
Yunus, ayat 64).
Mimpi datangnya dari Allah tetapi
kadang-kadang ada juga yang datang dari syaitan. Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa
yang melihatku di dalam mimpi sesungguhnya dia benar-benar melihatku kerana
syaitan tidak dapat mengambil bentukku” . Syaitan
juga tidak dapat mengambil bentuk mereka yang mengikut iman, jalan kebenaran,
makrifat, kebenaran dan cahaya Nabi s.a.w. Orang arif mentafsirkan hadis Nabi
s.a.w di atas dengan mengatakan syaitan bukan sahaja tidak dapat mengambil
bentuk Nabi s.a.w malah syaitan juga tidak dapat berpura-pura mengakui
seseorang atau sesuatu yang ada sifat kemurahan dan kebaikan atau kasih sayang
dan lemah lembut dan beriman. Sesungguhnya Nabi-nabi, wali-wali, malaikat,
Masjidil haram, matahari, bulan, awan putih, Quran yang suci, merupakan
kewujudan yang ke dalamnya syaitan tidak boleh masuk juga tidak dapat mengambil
bentuk mereka. Ini kerana syaitan adalah tempat dan keadaan yang menzahirkan
kekerasan, hukuman dan kesengsaraan. Ia hanya boleh menggambarkan kekeliruan
dan keraguan. Bila seseorang sudah memiliki di dalam dirinya kenyataan nama
Allah, ‘Pembimbing Mutlak Kepada Kebenaran', bagaimana sifat yang membawa
kekacauan itu boleh menyata dalam dirinya? Sifat-sifat yang bertentangan satu
sama lain tidak boleh bertukar tempat, seperti air dengan api. Kemurkaan tidak
dapat mengambil tempat kemurahan, juga tidak boleh api menyerupai air. Mereka
menolak sesama mereka, mereka berjauhan, mereka kepunyaan ruang yang berlainan.
Allah Pisahkan kebenaran daripada kepalsuan:
“Demikianlah Allah nyatakan kebenaran dan kepalsuan… dengan misalan dan ibarat…”. (Surah ar-Ra'd, ayat 17).
“Demikianlah Allah nyatakan kebenaran dan kepalsuan… dengan misalan dan ibarat…”. (Surah ar-Ra'd, ayat 17).
Tetapi syaitan boleh mengaku
menjadi Allah dan menipu manusia, membawa mereka menjadi sesat. Ini hanya boleh
dilakukan dengan izin Allah. Allah mempunyai banyak sifat-sifat yang kelihatan
bertentangan satu sama lain. Misalnya sifat-Nya Yang Gagah dan Keras kelihatan
berlawanan dengan sifat-Nya Yang Indah dan Lemah-lembut. Syaitan dilaknati
hanya boleh berpura-pura mengambil watak kemarahan dan keperkasaan kerana ia
secara kejadian asalnya adalah bentuk menyatakan kekerasan Allah. Allah
memiliki kedua-dua sifat, Pembimbing Mutlak kepada kebenaran dan juga Pembawa
kepada kesesatan. Syaitan tidak boleh menjelma dengan watak sifat yang
mengandungi nilai pembimbingan. Jika syaitan berpura-pura menjelmakan sebarang
sifat Allah, ia lakukannya dengan kehendak dan izin Allah, bagi membimbing
orang yang beriman kepada kebaikan dengan menentang kejahatan, membawanya
kepada kebenaran dengan cara menentang kepalsuan. Dalam kenyataannya syaitan
tidak ada sebarang kuasa untuk merampas iman daripada seseorang yang beriman;
ia hanya boleh mengambilnya jika orang yang beriman itu sendiri mencampakkan
imannya.
Allah memerintahkan Nabi-Nya
supaya: “Katakanlah:
‘Inilah jalanku, yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku menyeru (manusia)
kepada Allah dengan basirah (penyaksian yang jelas). Maha Suci Allah! Dan
bukanlah aku dari golongan musyrikin”. (Surah Yusuf, ayat 108).
Dalam ayat ini ‘orang yang
mengikuti daku' adalah manusia sempurna, guru kerohanian yang sebenar yang akan
datang selepas Nabi Muhamamd s.a.w, yang akan mewarisi ilmu batin baginda dan
kebijaksanaan baginda dan yang akan berada hampir dengan Allah. Manusia yang
demikian digambarkan sebagai ‘pelindung dan pembimbing sebenar'. (Surah
al-Kahfi, ayat 17).
Ada dua jenis mimpi; subjektif
(memberi pandangan atau perasaan sendiri) dan objektif (bermatlamat),
masing-masing dibahagi kepada dua jenis. Jenis pertama mimpi subjektif ialah
bayangan atau gambaran suasana kerohanian yang tinggi dan hasil daripada
keharmonian, dan kelihatan dalam gambar seperti matahari, bulan, bintang,
pemandangan padang pasir putih bermandikan cahaya, taman syurga, mahligai, roh
yang cantik dalam bentuk malaikat dan lain-lain. Ini semua adalah sifat-sifat
hati yang murni. Jenis kedua mimpi subjektif mengandungi gambaran yang
berkaitan dengan suasana seseorang yang bebas daripada keresahan, yang mengenal
diri dan menemui ketenteraman fikirannya. Gambaran-gambaran ini adalah
kelazatan yang dia akan temui dalam syurga, bau-bauan dan suara di dalam
syurga. Dia akan bermimpikan beberapa jenis haiwan dan burung yang menyerupai
yang paling cantik yang jenisnya ada dalam dunia. Haiwan yang dilihat di dalam
mimpi itu adalah haiwan syurga. Misalnya, unta adalah haiwan syurga. Kuda
dihantar sebagai haiwan yang membawa tentera suci di dalam peperangan menentang
orang-orang kafir di sekelilingnya dan di dalamnya. Lembu jantan kepada Nabi
Adam a.s bagi menenggala tanah untuk ditanam gandum. Kambing biri-biri
datangnya dari madu syurga, unta diciptakan dari cahaya syurga, kuda daripada
selasih manis di dalam syurga, biri-biri daripada kunyit syurga.
Baghal menggambarkan suasana
terendah seseorang yang menemui hati dan fikiran yang tenang. Bila dia mimpikan
baghal itu tandanya dia cuai dan malas di dalam melakukan ibadat sebab hawa
nafsu badannya menahan, dan usaha kerohaniannya tidak memberi hasil. Kemudian
dia harus bertaubat dan teruskan melakukan kebajikan supaya dia akan mendapat
hasil.
Keldai diciptakan dari batu
syurga dan diberikan untuk berkhidmat kepada Nabi Adam a.s dan keturunannya.
Keldai adalah lambang jasad dan keperluan kebendaannya, ego dan pentingkan diri
sendiri. Jasad adalah haiwan yang membawa beban, membawa roh. Jika seseorang
menjadi hamba kepada jasad dia adalah umpama orang yang memikul keldai di atas
bahunya, tetapi manusia sebenar menunggangi keldai jasad kebendaannya. Jadi,
keldai melambangkan cara atau alat dia mengarahkan urusan akhiratnya di dalam
dunia ini.
Berkata-kata dengan jejaka tampan
dengan wajah yang berseri-seri adalah tanda kenyataan Ilahi sampai kepada
seseorang itu kerana mereka yang sudah memperolehi makrifat kepada kenyataan
Ilahi di dalam syurga akan muncul di dalam rupa yang cantik. Nabi s.a.w
menggambarkan orang demikian sebagai berkeadaan serba-kena, serba-elok, lemah
lembut dan mempunyai mata kehitaman yang indah. Baginda bahkan mengatakan, “Aku
lihat Tuhanku dalam rupa jejaka tampan”. Kerana Allah tidak menyerupai sesuatu,
hadis ini dimengertikan sebagai kenyataan sifat-sifat Allah Yang Maha Indah
digambarkan di dalam cermin roh yang suci. Gambaran ini dinamakan bayi bagi
hati. Rupa kebendaan, badan, adalah cermin kepada kebijaksanaan ketuhanan yang
mengajarkan dan membentuk kita. Gambaran ini juga adalah perhubungan di antara
hamba dengan Tuhan. Saidina Ali r.a berkata, “Jika aku tidak dibentuk oleh
Tuhanku aku tidak akan mengenal-Nya”.
Bagi pembentukan kerohanian,
seseorang itu memerlukan petunjuk, bimbingan dan teladan daripada pembimbing
yang masih hidup. Guru-guru yang menjadi pembimbing adalah nab-nabi dan
orang-orang yang hampir dengan Allah yang mewarisi kebijaksanaan nabi-nabi. Melalui
pengajaran mereka hati dan diri seseorang diterangi cahaya, menerangi
perjalanan mereka. Murid menemui roh yang diilhamkan di dalam dirinya melalui
mereka yang menjadi guru kerohanian tersebut. “Dia jualah yang tinggi
darjat-Nya, yang memiliki arasy. Dia kirimkan roh (dari perintah-Nya) kepada
sesiapa yang Dia kehendaki dari hamba-hamba-Nya buat Dia ancam dengan hari
pertemuan”. (Surah Mukmin, ayat 15).
Untuk keselamatan hati kamu
mestilah mendapatkan guru yang mengilhamkan kamu dengan roh itu.
Imam al-Ghazali berkata, “ Tidak
menjadi kesalahan bagi seseorang melihat Allah dalam mimpinya sebagai gambaran
yang indah. Gambaran itu adalah symbol menurut peringkat kerohanian seseorang.
Apa yang dilihat tentu sekali bukan Zat Yang Maha Suci yang tidak serupa dengan
sesuatu. Begitu juga Nabi s.a.w tidak dapat dilihat dalam rupa baginda yang
asli, kecuali mereka yang menjadi waris kepada hikmah kebijaksanaan baginda,
ilmu dan amalan baginda, dan yang mengikuti baginda secara keseluruhan. Yang
lain, bila mereka mimpikan Rasulullah s.a.w, mimpikan simbol menurut kemampuan
dan suasana mereka, tetapi mereka tidak sebenarnya melihat baginda”.
Kata qil (kata orang bijak
pandai), “Dibolehkan melihat Allah di dalam mimpi sebagai cahaya atau rupa
manusia”. Dia menyatakan Diri-Nya dalam bentuk sifat-sifat-Nya. Kepada Nabi
Musa a.s Dia kelihatan sebagai api pada pokok jujube yang terbakar. Itu adalah
penzahiran tentang Kalam Suci yang Nabi Musa a.s dengan sebagai Belukar
Terbakar, mengatakan, “Wahai Musa, apakah di tangan kamu?' (Surah Ta
Ha, ayat 15).
Apa yang kelihatan kepada Musa
a.s sebagai api adalah cahaya Ilahi. Dia melihatnya sebagai api menurut
peringkat dan hasratnya, kerana dia sedang mencari api. Bagi manusia, peringkat
kewujudan terendah pada dirinya ialah tumbuh-tumbuhan, kemudian haiwan. Apakah
yang ganjil jika manusia yang telah menyucikan dirinya daripada tahap-tahap
rendah itu sehingga menjadi manusia sempurna, melihat kenyataan Tuhan
dizahirkan sebagai Belukar Terbakar. Bagi manusia sempurna yang lain Allah
menzahirkan Kalam-Nya sebagai perkataan mereka sendiri, keluar daripada mulut
mereka. Bayazid al-Bustami berkata, “Zatku adalah Yang Maha Mulia. Betapa besarnya
kemuliaan daku” . Kalam Suci keluar daripada mulut Junaid
al-Baghdadi, “Tiada yang lain kecuali Allah di dalam jubahku” .
Terdapat rahsia-rahsia besar di dalam peringkat seperti ini yang dicapai oleh
manusia sempurna. Terlalu sukar untuk menerangkannya dan terlalu panjang untuk
menghuraikannya. Ia hanya berkaitan dengan mereka yang menghabiskan hayatnya
mengejar ilmu batin.
Untuk menjadi penerima penzahiran
Ilahi dan untuk berhubung dengan roh Nabi s.a.w, seseorang mesti diajar dan
dididik dan dibawa ke peringkat kerohanian tersebut. Orang yang baharu memasuki
perjalanan kerohanian tidak boleh berharap dapat berhubung dengan Allah dan
Rasul-Nya. Di antara guru yang suci yang hampir dengan Allah dan Rasul-Nya ada
hubungan yang mengatasi zahiriah. Jika Nabi s.a.w masih hidup seseorang boleh
mengambil ilmu secara langsung daripada baginda dan tidak perlulah kepada
perantaraan. Tetapi oleh kerana baginda sudah wafat dan berpindah kepada alam
baqa, baginda berpisah dengan keadaan keduniaan dan kebendaan. Jadi, seseorang
tidak dapat berhubung secara langsung dengan baginda. Hal yang sama juga
terjadi pada guru yang benar. Bila mereka meninggal dunia orang ramai tidak
boleh lagi belajar dengan mereka.
Kamu akan faham jika kamu
mempunyai pengertian yang mendalam, jika kamu mencari bukan untuk menjadi luar
biasa. Mencari untuk memperolehi kefahaman ini dengan renungan mendalam, agar
kamu melepasi kegelapan ego diri kamu dengan cahaya yang dinyalakan. Kamu perlu
cahaya untuk melihat, untuk mengerti. Kamu tidak boleh melihat di dalam
kegelapan. Cahaya itu hanya jatuh pada tempat yang sesuai, yang teratur dan suci,
tempat yang mulia. Orang yang baharu, dengan dirinya sendiri, tidak dapat
meletakkan dirinya dalam kesesuaian dan sebab itu memerlukan guru.
Guru yang masih hidup mestilah
ada hubungan dengan Nabi s.a.w – iaitu jika dia benar-benar pewaris suasana
Nabi s.a.w. Dalam perjalanannya dia menerima bimbingan daripada Nabi s.a.w dan
diajarkan untuk menjadi hamba Allah yang sabar. Dengan bantuan ini dia menjadi
alat bagi penerusan jalan batin. Selebihnya adalah rahsia. Hanya orang yang
layak mengalaminya akan mengalaminya.
“Bagi Allah jualah kemuliaan dan bagi Rasul-Nya dan bagi orang mukmin”. (Surah Munafiquun, ayat 8).
“Bagi Allah jualah kemuliaan dan bagi Rasul-Nya dan bagi orang mukmin”. (Surah Munafiquun, ayat 8).
Suasana yang mulia ini adalah
rahsia.
Latihan kerohanian bukanlah
perkara mudah. Roh kebendaan berada di dalam tubuh dan dilatih dengannya.
Tempat roh kerohanian di dalam hati. Tempat roh sultan adalah pusat hati.
Tempat roh kudus (roh suci) adalah rahsia. Rahsia itu adalah jalan yang
menghubungkan yang hak dengan orang yang beriman. Ia adalah juru bahasa,
menterjemahkan yang hak kepada si pencari, kerana rahsia itu kepunyaan Allah,
adalah hampir dengan-Nya dan amanah-Nya.
Ada juga mimpi akibat kelakuan
buruk. Ia menunjukkan sifat-sifat ego yang menguasai atau kesedaran terhadap
kesalahan tetapi dia tidak mampu menghentikannya.
Malah dalam suasana yang lebih
baik bila seseorang diingatkan oleh Allah tentang kesalahan dan dosanya dia
mimpikan haiwan liar seperti harimau dan singa, serigala dan beruang, anjing
dan babi jantan, dan haiwan-haiwan kecil – musang, arnab, kucing ular, kala
jengking dan haiwan yang memakan daging dan juga haiwan berbisa, haiwan yang
merosakkan.,
Untuk menyatakan sebahagian kecil
kejahatan yang ditunjukkan oleh gambaran-gambaran itu: Harimau adalah simbol;
ujub dan besar diri serta takabur yang sampai kepada peringkat angkuh dengan
Allah: “Orang-orang
yang mendustakan ayat-ayat Kami dan tidak mahu terima dia, maka tidak akan
dibuka pintu-pintu langit dan tidak akan mereka masuk syurga sehingga unta
boleh masuk ke lubang jarum”. (Surah al-A'raaf, ayat 40).
Hukuman yang sama juga bagi
mereka yang angkuh dengan sesama manusia.
Serigala adalah simbol kasihkan
diri yang melampau dan inginkan pujian. Beruang melambangkan kemarahan dan
keberangan dan kezaliman ke atas orang yang dia kuasai. Serigala melambangkan
kerakusan tanpa memperdulikan haram dan halal, bersih atau kotor. Anjing
melambangkan kasihkan dunia dan huru harinya. Babi melambangkan kedinginan,
cita-cita tinggi, berendam dan hawa nafsu yang kuat. Musang menunjukkan
penipuan, pembohongan, menipu dalam urusan dunia. Arnab menunjukkan kelakuan
yang sama, kecuali dilakukan secara tidak sedar dan dalam kelalaian. Harimau
bintang – usaha yang digunakan tanpa pertimbangan dan menyakitkan hati, juga
ingin menjadi terkenal. Kucing – kebakhilan dan memutar belit. Ular –
berbohong, mengata-ngata, membuat tuduhan palsu dan menyakitkan orang lain
dengan perkataannya. Kala jengking – kritik yang tidak sihat, mempersendakan
orang dan tidak menerima mereka. Tebuan – bahasa kesat yang menyakitkan hati
orang.
Jika seseorang bermimpi berlawan
dengan salah satu daripada haiwan tersebut tetapi tidak dapat mengalahkannya
dia perlu memperkuatkan lagi usaha, ibadat dan ingatan secara sedar, sehingga
sekali pukul binatang itu dapat dihapuskan. Jika bermimpi membunuh binatang itu
bermakna dia telah berhenti melakukan kesalahan dan menyakitkan hati orang
lain. Allah berfirman: “ Dia akan
hapuskan daripada mereka kejahatan dan Dia akan perbaiki keadaan mereka”.
(Surah Muhammad, ayat 2).
Jika dia bermimpi salah satu
daripada binatang itu berubah menjadi manusia itu tandanya suasananya yang
salah dahulu telah diperbetulkannya dan taubatnya diterima, kerana tanda
sebenar taubat diterima ialah ketidak-upayaan melakukan kesalahan yang sama. “Kecuali
orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan akal salih, maka mereka itu
Allah tukarkan kejahatan mereka dengan kebaikan…” (Surah al-Furqaan, ayat 70).
Bila seseorang diselamatkan
daripada kejahatan dan kesalahan dia mesti menjaganya sungguh-sungguh, jangan
berasa sudah selamat, kerana hawa nafsu dan ego mendapat kembali kekuatannya
melalui ingatan yang sedikit terhadap keingkaran, bangkangan dan kejahatan, dan
membawa seseorang kembali kepada cara lama. Suasana roh yang sejahtera dengan
mudah akan hilang. Tujuan Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya menahan diri daripada
yang haram adalah mengwujudkan amaran yang berterusan untuk menjaga seseorang
agar sentiasa berwaspada.
Ego jahat yang memerintah
kadang-kadang kelihatan dalam mimpi sebagai orang kafir; diri yang mengkritik
diri sendiri boleh kelihatan sebagai orang Yahudi; diri yang berperangsang
kadang-kadang kelihatan sebagai orang Kristian.
0 comments:
Post a Comment