6: TEMPAT ROH-ROH DI DALAM BADAN
Tempat roh manusia, roh
kehidupan, di dalam badan ialah dada. Tempat ini berhubung dengan pancaindera
dan deria-deria. Urusan atau bidangnya ialah agama. Pekerjaannya ialah mentaati
perintah Allah . Dengan peraturan-peraturan yang
ditentukan-Nya, Allah memelihara dunia nyata ini dengan teratur dan harmoni.
Roh itu bertindak menurut kewajipan yang ditentukan oleh Allah, tidak
menganggap perbuatannya sebagai perbuatannya sendiri kerana dia tidak berpisah
dengan Allah. Perbuatannya daripada Allah; tidak ada perpisahan di antara ‘aku'
dengan Allah di dalam tindakan dan ketaatannya. “Barangsiapa percaya akan
pertemuan Tuhannya hendaklah mengerjakan amal salih dan janganlah ia sekutukan
sesuatu dalam ibadat kepada Tuhannya”. (Surah Kahfi, ayat 110).
Allah adalah esa dan Dia
mencintai yang bersatu dan satu. Dia mahu semua penyembahan dan semua amal
kebaikan, yang Dia anggap sebagai pengabdian kepada-Nya, menjadi milik-Nya
semata-mata, tidak dikongsikan dengan apa sahaja. Jadi, seseorang tidak
memerlukan kelulusan atau halangan daripada sesiapa pun di dalam pengabdiannya
kepada Tuhannya, juga amalannya bukan untuk kepentingan duniawi. Semuanya
semata-mata kerana Allah. Suasana yang dihasilkan oleh petunjuk Ilahi seperti
menyaksikan bukit-bukti kewujudan Allah di dalam alam nyata ini; kenyataan
sifat-sifat-Nya, kesatuan di dalam yang banyak, hakikat di sebalik yang nyata,
kehampiran dengan Pencipta, semuanya adalah ganjaran bagi amalan kebaikan yang
benar dan ketaatan tanpa mementingkan diri sendiri. Namun, semuanya itu di
dalam taklukan alam benda, daripada bumi yang di bawah tapak kaki kita
sehinggalah kepada langit-langit. Termasuk juga di dalam taklukan alam dunia
ialah kekeramatan yang muncul melalui seseorang, misalnya berjalan di atas air,
terbang di udara, berjalan dengan pantas, mendengar suara dan melihat gambaran
dari tempat yang jauh atau boleh membaca fikiran yang tersembunyi. Sebagai
ganjaran terhadap amalan yang baik manusia juga diberikan nikmati di akhirat
seperti syurga, khadam-khadam, bidadari, susu, madu, arak dan lain-lain.
Semuanya itu merupakan nikmati syurga tingkat pertama, syurga dunia.
Tempat ‘roh perpindahan atau
roh peralihan' ialah di dalam hati. Urusannya ialah pengetahuan
tentang jalan kerohanian. Kerjanya berkait dengan empat nama-nama pertama bagi
nama-nama Allah yang indah. Sebagaimana dua belas nama-nama yang lain empat
nama tersebut tidak termasuk di dalam sempadan suara dan huruf. Jadi, ia tidak
boleh disebut. Allah Yang Maha Tinggi berfirman:
“Dan bagi Allah jualah
nama-nama yang baik, jadi serulah Dia dengan nama-nama tersebut”. (Surah
A'raaf, ayat 180).
Firman Allah di atas menunjukkan
tugas utama manusia adalah mengetahui nama-nama Tuhan. Ini adalah pengetahuan
batin seseorang. Jika mampu memperolehi pengetahuan yang demikian dia akan
sampai kepada makam makrifat. Di samalah pengetahuan tentang nama keesaan
sempurna.
Nabi s.a.w bersabda, “ Allah
Yang Maha Tinggi mempunyai sembilan puluh sembilan nama, siapa mempelajarinya
akan masuk syurga” . Baginda s.a.w juga bersabda, “Pengetahuan
adalah satu. Kemudian orang arif jadikannya seribu” . Ini
bermakna nama kepunyaan Zat hanyalah satu. Ia memancar sebagai seribu sifat
kepada orang yang menerimanya.
Dua belas nama-nama Ilahi berada
di dalam lengkungan sumber pengakuan tauhid “La ilaha illa Llah” . Tiap
satunya adalah satu daripada dua belas huruf dalam kalimah tersebut. Allah Yang
Maha Tinggi mengurniakan nama masing-masing bagi setiap huruf di dalam
perkembangan hati. Setiap satu daripada empat alam yang dilalui oleh roh
terdapat tiga nama yang berlainan. Allah Yang Maha Tinggi dengan cara ini
memegang erat hati para pencinta-Nya, dalam kasih sayang-Nya. Firman-Nya: “Allah
tetapkan orang-orang yang beriman dengan perkataan yang tetap di Penghidupan
dunia dan akhirat”. (Surah Ibrahim, ayat 27).
Kemudian dikurniakan kepada
mereka kehampiran-Nya. Dia sediakan pokok keesaan di dalam hati mereka, pokok
yang akarnya turun kepada tujuh lapis bumi dan Dahannya meninggi kepada tujuh
lapis langit, bahkan meninggi lagi hingga ke arasy dan mungkin lebih tinggi
lagi. Allah berfirman: “Tidakkah engkau perhatikan bagaimana Allah
adakan misal, satu kalimah yang baik seperti pohon yang baik, pangkalnya tetap
dan cabangnya ke langit . (Surah Ibrahim, ayat 24).
Tempat ‘roh perpindahan atau roh
peralihan' adalah di dalam nyawa kepada hati. Alam malaikat berterusan di dalam
penyaksiannya. Ia boleh melihat syurga alam tersebut, penghuninya, cahayanya
dan semua malaikat di dalamnya. Kalam ‘roh peralihan' adalah bahasa alam batin,
tanpa huruf tanpa suara. Perhatiannya berterusan menyentuh soal-soal
rahsia-rahsia maksud yang tersembunyi. Tempatnya di akhirat apabila kembali
ialah syurga Na'im, taman kegembiraan kurniaan Allah.
Tempat ‘roh sultan' di mana ia
memerintah, adalah di tengah-tengah hati, jantung kepada hati. Urusan roh ini
ialah makrifat. Kerjanya ialah mengetahui semua pengetahuan ketuhanan yang
menjadi perantaraan bagi semua ibadat yang sebenar-benarnya diucapkan dalam
bahasa hati. Nabi s.a.w bersabda, “Ilmu ada dua bahagian. Satu pada lidah, yang
membuktikan kewujudan Allah. Satu lagi di dalam hati. Inilah yang perlu bagi
menyedarkan tujuan seseorang”. Ilmu yang sebenar-benarnya bermanfaat berada di
dalam sempadan kegiatan hati. Nabi s.a.w bersabda, “Quran
yang mulia mempunyai makna zahir dan makna batin” . Allah Yang
Maha Tinggi membukakan Quran kepada sepuluh lapis makna yang tersembunyi.
Setiap makna yang berikutnya lebih bermanfaat daripada yang sebelumnya kerana
ia semakin hampir dengan sumber yang sebenarnya. Dua belas nama kepunyaan Zat
Allah adalah umpama dua belas mata air yang memancar dari batu apabila Nabi
Musa a.s menghentamkan batu itu dengan tongkatnya.
“Dan (ingatlah) tatkala Musa mintakan air bagi kaumnya, maka Kami berkata, ‘Pukullah batu itu dengan tingkat kamu'. Lantas terpancar daripadanya dua belas mata air yang sesungguhnya setiap golongan itu mengetahui tempat minumnya”. (Surah Baqarah, ayat 60) .
“Dan (ingatlah) tatkala Musa mintakan air bagi kaumnya, maka Kami berkata, ‘Pukullah batu itu dengan tingkat kamu'. Lantas terpancar daripadanya dua belas mata air yang sesungguhnya setiap golongan itu mengetahui tempat minumnya”. (Surah Baqarah, ayat 60) .
Pengetahuan zahir adalah umpama
air hujan yang datang dan pergi sementara pengetahuan batin umpama mata air
yang tidak pernah kering. “Dan satu tanda untuk mereka, ialah bumi yang
mati (lalu) Kami hidupkannya dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian, lalu
mereka memakannya”. (Surah Yaa Sin, ayat 33).
Allah jadikan satu bijian, sebiji
benih di langit. Benih itu menjadi kekuatan kepada kehaiwanan di dalam diri
manusia. Dijadikan-Nya juga sebiji benih di dalam alam roh-roh (alam al-anfus);
menjadi sumber kekuatan, makanan roh. Bijian itu dijiruskan dengan air dari
sumber hikmah. Nabi s.a.w bersabda, “Jika seseorang menghabiskan empat puluh hari
dalam keikhlasan dan kesucian sumber hikmah akan memancar dari hatinya kepada
lidahnya”.
Nikmat bagi ‘roh sultan ialah
kelazatan dan kecintaan yang dinikmatinya dengan menyaksikan kenyataan
keelokan, kesempurnaan dan kemurahan Allah Yang Maha Tinggi. Firman Allah: “Dia
telah diajar oleh yang bersangatan kekuatannya, yang berupa bagus, lalu ia
menjelma dengan sempurnanya padahal ia di pehak atas yang paling tinggi. Kemudian
ia mendekati rapat (kepadanya), maka adalah (rapatnya) itu kadar dua busur
panah atau lebih dekat (lagi). Lalu Ia wahyukan kepada hamba-Nya apa yang Ia
mahu wahyukan. Hatinya tidak mendusta apa yang dia lihat”. (Surah Najmi, ayat 5
– 11).
Nabi s.a.w menggambarkan suasana
demikian dengan cara lain, “Yang beriman (yang sejahtera) adalah cermin
kepada yang beriman (yang sejahtera)” . Dalam ayat ini yang
sejahtera yang pertama ialah hati orang yang beriman yang sempurna, sementara
yang sejahtera kedua itu ialah yang memancar kepada hati orang yang beriman
itu, tidak lain daripada Allah Yang Maha Tinggi sendiri. Allah menamakan
Diri-Nya di dalam Quran sebagai Yang Mensejahterakan. “Dia
jualah Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia…Yang Mensejahterakan (Pemelihara
iman), Pemelihara segala-galanya” . (Surah Hasyr, ayat 23).
Kediaman ‘roh sultan' di akhirat
ialah syurga Firdaus, syurga yang tinggi.
Setesen di mana roh-roh berhenti
adalah tempat rahsia yang Allah buatkan untuk Diri-Nya di tengah-tengah hati,
di mana Dia simpankan rahsia-Nya (Sirr) untuk disimpan dengan selamat. Keadaan
roh ini diceritakan oleh Allah melalui pesuruh-Nya:
“Insan adalah rahsia-Ku dan
Aku rahsianya”.
Urusannya ialah kebenaran
(hakikat) yang diperolehi dengan mencapai keesaan; mencapai keesaan itulah
tuagsnya. Ia membawa yang banyak kepada kesatuan dengan cara terus menerus
menyebut nama-nama keesaan di dalam bahasa rahsia yang suci. Ia bukan bahasa
yang berbunyi di luar.
“Dan jika engkau nyaringkan perkataan, maka Sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi”. (Surah Ta Ha, ayat 7)
“Dan jika engkau nyaringkan perkataan, maka Sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi”. (Surah Ta Ha, ayat 7)
Hanya Allah mendengar bahasa roh
suci dan hanya Allah mengetahui keadaannya.
Nikmat bagi roh ini ialah
penyaksian terhadap ciptaan Allah yang pertama. Apa yang dilihatnya ialah
keindahan Allah. Padanya terdapat penyaksian rahsia. Pandangan dan pendengaran
menjadi satu. Tidak ada perbandingan dan tidak ada persamaan tentang apa yang
disaksikanya. Dia menyaksikan sifat Allah, keperkasaan dan kekerasan-Nya
sebagai esa dengan keindahan, kelembutan dan kemurahan-Nya.
Bila manusia temui matlamatnya,
tempat kediamannya, bila dia temui akal asbab, pertimbangan keduniaannya yang
memandunya selama ini akan tunduk kepada Perintahnya; hatinya akan rasa gentar
bercampur hormat, lidahnya terkunci. Dia tidak berupaya menceritakan keadaan
tersebut kerana Allah tidak menyerupai sesuatu.
Bila apa yang diperkatakan di
sini sampai ke telinga orang yang berilmu, mula-mula cubalah memahami tahap
pengetahuan sendiri. Tumpukan perhatian kepada kebenaran (hakikat) mengenai
perkara-perkara yang sudah diketahui sebelum mendongak ke ufuk yang lebih
tinggi, sebelum mencari peringkat baharu, semoga mereka memperolehi pengetahuan
tentang kehalusan perlaksanaan Ilahi. Semoga mereka tidak menafikan apa yang
sudah diperkatakan, tetapi sebaliknya mereka mencari makrifat, kebijaksanaan
untuk mencapai keesaan. Itulah yang sangat diperlukan.
0 comments:
Post a Comment