14: KEBAHAGIAAN KERANA BERAMAL SALIH DAN
KESENGSARAAN KERANA INGKAR
Kamu patut tahu bahawa manusia
akan termasuk kepada salah satu daripada dua golongan, golongan
pertama ialah yang berada dalam kedamaian, keimanan, bahagia dalam melakukan
ketaatan kepada Allah , sementara golongan
kedua berada dalam keadaan tidak selamat, keraguan dan kerisauan dalam
keingkaran terhadap peraturan Tuhan. Kedua-dua nilai, ketaatan
dan keingkaran, ada di dalam diri seseorang. Jika kesucian, kebaikan dan
keikhlasan lebih menguasai, sifat-sifat mementingkan diri akan bertukar menjadi
suasana kerohanian dan bahagian diri yang ingkar akan dikalahkan oleh bahagian
diri yang baik. Sebaliknya jika seseorang mengikuti hawa nafsu yang rendah dan
kesenangan ego dirinya, sifat-sifat ingkar akan menguasai bahagian diri yang
satu lagi untuk menjadikannya ingkar dan jahat. Jika kedua-dua sifat yang
berlawanan itu sama-sama kuat diharapkan yang baik itu boleh menang,
sebagaimana yang dijanjikan: “Barangsiapa kerjakan kebaikan maka baginya
(ganjaran) sepuluh kali ganda, dan barangsiapa kerjakan kejahatan maka Tidaklah
dibalas dia melainkan sebanyak (kejahatannya) itu, dan mereka tidak akan diniayai.
(Surah An'aam, ayat 160).
Dan jika Allah kehendaki
ditambah-Nya lagi ganjaran atas kebaikan. Namun orang yang kebajikan dan
kejahatannya sama banyak mesti lulus perbicaraan pada hari pembalasan. Orang
yang berjaya mengubah sifat mementingkan diri kepada tidak mementingkan diri,
hawa nafsu yang rendah kepada cita-cita kerohanian, baginya tiada hisab, tiada
catatan akan diberikan kepadanya. Dia akan memasuki syurga tanpa melalui huru
hara hari kiamat. “Oleh sebab itu barangsiapa berat (timbangan)
kebaikannya maka dia di dalam kehidupan (akhirat) yang sentosa” . (Surah
Qari'ah, ayat 6 & 7).
Orang yang kejahatannya lebih
berat daripada kebaikannya akan dihukum menurut kadar kejahatannya. Kemudian
dia dikeluarkan daripada neraka, jika dia beriman, dan akan masuk syurga.
Taat dan ingkar bermakna baik dan
jahat. Kedua-dua ini ada dalam diri seseorang manusia. Yang baik boleh berubah
menjadi jahat dan yang jahat boleh berubah menjadi baik. Nabi s.a.w bersabda, “Orang
yang kebaikan menguasainya menemui keselamatan, keimanan dan kegembiraan dan
menjadi baik. Orang yang kejahatan lebih menguasai kebaikan, dia menjadi ingkar
dan jahat. Orang yang menyedari kesalahannya dan bertaubat dan mengubah
haluannya akan mendapati suasana ingkar akan bertukar menjadi taat dan beribadat”.
Telah menjadi ketentuan bahawa
baik dan jahat, kehidupan yang diberkati bagi orang yang taat dan kesengsaraan
bagi yang ingkar, adalah keadaan yang setiap orang dilahirkan dengannya.
Kedua-duanya tersembunyi di dalam bakat atau keupayaan seseorang. Nabi s.a.w
bersabda, “Orang yang bertuah menjadi baik adalah baik ketika di dalam
kandungan ibunya, dan orang berdosa yang jahat adalah pendosa di dalam
kandungan ibunya” . Begitulah keadaannya dan
tiada siapa yang berhak berbincang mengenainya. Urusan takdir bukan untuk
dibincangkan. Jika dibiarkan perbincangan demikian ia akan membawa kepada
bidaah dan kekufuran.
Lagipun tiada siapa boleh
menjadikan takdir sebagai alasan untuk membuang segala ikhtiar, semua perbuatan
baik. Seseorang itu tidak boleh mengatakan, ‘Jika aku ditakdirkan menjadi baik
maka aku bersusah payah membuat kebaikan sedangkan aku sudahpun diberkati'.
Atau berkata, ‘Jika aku sudah ditakdirkan menjadi jahat apa gunanya aku berbuat
kebaikan'. Jelas sekali pendirian demikian tidak benar. Tidak wajar mengatakan,
‘Jika keadaan aku sudah ditakdirkan pada azali apa untung atau rugi yang aku
harapkan dengan usahaku sekarang'. Contoh yang baik diberikan kepada kita
adalah perbandingan di antara Adam a.s dengan iblis yang dilaknat. Iblis meletakkan
kesalahan kepada takdir, yang menyebabkan dia menjadi derhaka, maka dia menjadi
kafir dan dibuang jauh daripada keampunan dan kehampiran Tuhan. Adam a.s
mengakui kesilapannya dan memohon keampunan, menerima keampunan dari Allah dan
diselamatkan.
Menjadi kewajipan bagi orang
Islam yang beriman untuk tidak cuba memahami sebab-sebab yang tersimpan di
dalam takdir. Orang cuba berbuat demikian akan menjadi keliru dan tidak
mendapat apa-apa melainkan keraguan. Bahkan dia mungkin kehilangan keyakinan.
Orang yang beriman mestilah mempercayai kepada kebijaksanaan Allah yang mutlak.
Segala yang manusia lihat terjadi pada dirinya di dalam dunia ini mesti ada
alasan tetapi alasan itu bukan untuk difahami melalui lojik manusia kerana ia
berdasarkan kebijaksanaan Tuhan. Di dalam kehidupan ini bila kamu temui
pencacian terhadap Tuhan, kemunafikan, keingkaran, penipuan dan lain-lain yang
jahat, jangan biarkan perkara-perkara tersebut menggoncangkan iman kamu.
Ketahuilah Allah Yang Maha Tinggi dengan kebijaksanaan mutlak bertanggungjawab
kepada semua perkara dan Dia lakukan apa yang kelihatan sebagai tidak baik
sebagai menyatakan kekuasaan-Nya yang mutlak. Penzahiran kekuasaan yang
demikian mungkin menyebabkan ada orang yang tidak tertahan dan menganggapnya
sebagai tidak baik tetapi ada rahsia besar di sebaliknya yang tiada makhluk
yang tahu melainkan Rasulullah s.a.w. Ada kisah orang arif berdoa kepada
Tuhannya, “Wahai Yang Maha Suci, semua telah diatur oleh Engkau. Takdirku
adalah kepunyaan-Mu. Ilmu yang Engkau letakkan padaku adalah milik-Mu”. Ketika
itu dia mendengar jawapan tanpa suara tanpa sepatah perkataan, keluar dari
dalam dirinya mengatakan, “Wahai hamba-Ku. Segala yang engkau katakan
adalah kepunyaan Yang Maha Esa dan dalam keesaan. Ia bukan milik hamba-hamba”. Hamba
yang beriman itu berkata, “Wahai Tuhanku, aku telah menzalimi diriku, aku
bersalah, aku berdosa”. Selepas pengakuan itu sekali lagi dia
mendengar dari dalam dirinya, “Dan Aku mempunyai keampunan terhadap dirimu. Aku
telah hapuskan kesalahan-kesalahan kamu, Aku telah ampun kamu”.
Biar mereka yang beriman tahu dan
bersyukur yang segala kebaikan yang mereka lakukan bukanlah dari mereka tetapi
melalui mereka, kejayaan datangnya dari Pencipta. Bila mereka bersalah biar
mereka tahu bahawa kesalahan mereka datangnya dari diri mereka sendiri,
kepunyaan mereka dan mereka boleh bertaubat. Kesalahan datangnya dari keegoan
mereka yang batil. Jika kamu memahami ini dan mengingatinya kamu termasuk ke
dalam golongan yang disebut Allah: “Dan yang apabila telah berbuat kejelikan atau
menganiayai diri-diri mereka maka mereka ingat kepada Allah dan mereka minta
diampunkan dosa-dosa mereka – bukankah tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa
melainkan Allah? Dan mereka tidak berkekalan di atas dosa yang mereka kerjakan,
dan mereka tahu. Mereka itu balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka,
syurga-syurga yang mengalir padanya sungai-sungai, mereka akan kekal padanya,
dan alangkah baiknya balasan bagi orang-orang yang beramal”. (Surah Imraan,
ayat 135 & 136).
Adalah baik bagi orang yang
beriman mengakui yang dirinya sendirilah punca semua kesalahan dan dosanya.
Itulah yang akan menyelamatkannya. Itu lebih baik dan lebih benar daripada
meletakkan kesalahan dirinya kepada Yang Maha Perkasa, Maha Kuasa, Pencipta
semua perkara.
Bila Nabi s.a.w bersabda, “Telah
diketahui bila seseorang itu berada di dalam kandungan ibunya samada dia akan
menjadi baik atau pendosa” baginda maksudkan ‘dalam kandungan
ibu' itu adalah empat anasir yang melahirkan semua kekuatan atau tenaga dan
kebolehan lahiriah. Dua daripada anasir tersebut adalah tanah dan air yang
bertanggungjawab kepada pertumbuhan keyakinan dan pengetahuan, melahirkan
kehidupan dan lahir dalam hati sebagai tawaduk (kerendahan diri). Dua anasir
lain ialah api dan angin yang bertentangan dengan tanah dan air – membakar,
membinasa, membunuh. Kudrat Tuhan yang menyatukan anasir-anasir yang berlawanan
dan berbeza menjadi satu. Bagaimana air dan api boleh wujud bersama? Bagaimana
cahaya dan kegelapan boleh terkandung di dalam awan? “Dia yang
mengunjukkan kepada kamu kilat untuk menakutkankan dan kerana harapan, dan Dia
jadikan mega yang berat. Dan petir itu beribadat dengan memuji Tuhannya, dan
malaikat juga, lantaran takut kepada-Nya, dan Dia kirim halilintar dan Dia
kenakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki…”. (Surah ar-Ra'd, ayat 12 &
13). Satu hari wali Allah Yahya bin Mua'adh ar-Razi ditanya,
“Bagaimana mengenali Allah?' Dia menjawab, “Melalui gabungan yang
bertentangan”.
Pertentangan termasuk pada, dan
sebenarnya keperluan bagi, memahami sifat-sifat Allah. Dengan menghadapkan diri
kepada hakikat Ilahi seseorang menjadi cermin yang membalikkan kebenaran itu,
juga sifat Yang Maha Perkasa dibalikkan. Dalam diri manusia terkandung seluruh
alam maya. Sebab itu dia dipanggil penggabung yang banyak. Allah menciptakan
manusia dengan dua tangan-Nya, tangan kemurahan-Nya dan tangan keperkasaan-Nya,
keperkasaan dan kekuasaan. Jadi, manusia adalah cermin yang menunjukkan
kedua-dua belah, yang kasar serta tebal dan yang halus serta indah.
Semua nama-nama Ilahi menyata
pada manusia. Semua makhluk yang lain hanya sebelah sahaja. Allah menciptakan
iblis dan keturunannya dengan sifat kekerasan-Nya. Dia ciptakan malaikat dengan
sifat kemurahan-Nya. Nilai-nilai kesucian dan kebaktian yang berterusan terkandung
dalam kejadian malaikat, sementara iblis dan keturunannya yang diciptakan
dengan sifat kekerasan-Nya, mempunyai nilai kejahatan, kerana itu iblis menjadi
takabur, dan bila Allah perintahkan sujud kepada Adam dia ingkar.
Oleh kerana manusia mempunyai kedua-dua
ciri alam tinggi dan rendah, dan Allah telah memilih utusan-utusan dan
wali-wali-Nya dari kalangan manusia, mereka tidak bebas daripada kesilapan.
Nabi-nabi dipelihara dari dosa-dosa besar tetapi kesilapan kecil harus berlaku
pada mereka. Wali-wali pula tidak terjamin dipelihara daripada dosa tetapi
adalah dikatakan wali-wali itu hampir dengan Tuhan, mencapai makam
kesempurnaan, mereka masuk ke bawah perlindungan Tuhan daripada dosa-dosa
besar.
Syaqiq al-Baqi berkata, “Terdapat
lima tanda kebenaran: perangai yang lemah lembut dan lembut hati, menangis
kerana menyesal, mengasingkan diri dan tidak peduli tentang dunia, tidak
bercita-cita tinggi, dan memiliki rasa hati (gerak hati atau intuisi).
Tanda-tanda pendosa juga lima ; keras hati, mempunyai mata yang tidak pernah
menangis, mencintai dunia dan kesenangannya, bercita-cita tinggi, tidak bermalu
dan tidak ada rasa atau gerak hati”.
Nabi s.a.w meletakkan empat nilai
pada orang yang baik-baik, “Boleh dipercayai dan menjaga apa yang diamanahkan
kepadanya dan mengembalikannya. Menepati janji. Bercakap benar, tidak
berbohong. Tidak kasar dalam perbincangan dan tidak menyakitkan hati orang
lain”. Baginda s.a.w juga memberitahu empat tanda pendosa, “Tidak
boleh dipercayai dan merosakkan amanah yang diberikan kepadanya, mungkir janji,
menipu, suka bertengkar, memaki apabila berbincang dan menyakitkan hati orang
lain” . Seterusnya pendosa tidak dapat memaafkan
kawan-kawannya. Ini tanda tiada iman kerana kemaafan menjadi tanda utama orang
beriman. Allah memerintahkan rasul-Nya: “Berilah maaf, dan suruhlah mereka (manusia)
berbuat kebaikan, dan berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh”. (Surah
A'raaf, ayat 199).
Perintah ‘maafkanlah' bukan hanya
tertuju kepada Rasulullah s.a.w seorang sahaja. Ia mengenai semua orang dan
tentu sahaja termasuk mereka yang beriman dengan Rasulullah s.a.w. Perkataan
‘maafkanlah' bermakna jadikan tabiat memafkan, jadikan sifat atau peribadi.
Sesiapa yang ada sifat pemaaf menerima satu daripada nama-nama Allah – ar-Rauf
– Yang Memaafkan. “Barangsiapa memaafkan dan membereskan maka
ganjarannya (adalah) atas (tanggungan) Allah”. (Surah Syura, ayat 40).
Ketahuilah ketaatan kepada Allah
bertukar menjadi ingkar, kejahatan dan dosa menjadi kebaikan, tidak berlaku
dengan sendiri, tetapi dengan rangsangan, pengaruh, tindakan serta usaha diri
sendiri. Nabi s.a.w bersabda, “Semua anak dilahirkan muslim. Ibu bapanya yang
menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”. Setiap orang ada bakat untuk
menjadi baik atau jahat, boleh memiliki sifat-sifat baik dan buruk dalam masa
yang sama. Jadi, adalah salah menghukum seseorang atau sesuatu sebagai
sepenuhnya baik atau buruk. Tetapi benar jika dikatakan seseorang itu lebih
banyak kebaikannya daripada kejahatannya ataupun sebaliknya.
Ini bukan bermakna manusia masuk
syurga tanpa amalan baik, juga bukan dia dihantar ke neraka tanpa amalan buruk.
Berfikir cara demikian bertentangan dengan prinsip Islam. Allah menjanjikan
syurga kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal salih dan diancam-Nya
orang-orang yang berdosa dengan azab neraka. “Barangsiapa berbuat baik
maka (adalah) untuk kebaikan dirinya dan barangsiapa berbuat jahat maka untuk
dirinya. Kemudian kepada Tuhan kamulah kamu akan dikembalikan”. (Surah
Jaasiaah, ayat 15).
"Di hari ini dibalas
setiap jiwa dengan apa yang dia telah usahakan. Tidak ada kezaliman pada hari
ini. Sesungguhnya Allah cepat menghitung”. (Surah Mukmin, ayat 17).
"Kerana apa juga amal
yang baik yang kamu sediakan untuk diri kamu nanti kamu dapati (ganjaran)nya di
sisi Allah”. (Surah Baqaraah, ayat 110).
0 comments:
Post a Comment