12: MENYAKSIKAN ALLAH: SAMPAI KEPADA MAKAM
MELIHAT KENYATAAN ZAT YANG MAHA SUCI.
Melihat Allah ada dua jenis: Pertama
melihat sifat keindahan Allah yang sempurna secara langsung di akhirat' dan
satu lagi melihat sifat-sifat ketuhanan yang dipancarkan ke atas cermin yang
jernih kepunyaan hati yang tulen di dalam kehidupan ini . Dalam
hal tersebut penyaksian kelihatan sebagai penzahiran cahaya keluar daripada
keindahan Allah yang sempurna dan dilihat oleh mata hati yang hakiki. “Hati
tidak menafikan apa yang dia lihat” . (Surah Najmi, ayat 11).
Mengenai melihat kenyataan Allah
melalui perantaraan, Nabi s.a.w bersabda, “Yang beriman adalah cermin kepada yang
beriman” . Yang beriman yang pertama,
cermin dalam ayat ini, adalah hati yang beriman yang suci murni, sementara yang
beriman kedua adalah Yang Melihat bayangan-Nya di dalam cermin itu, Allah Yang
Maha Tinggi. Sesiapa yang sampai kepada makam melihat kenyataan sifat Allah di
dalam dunia ini akan melihat Zat Allah di akhirat, tanpa rupa tanpa bentuk.
Kenyataan ini disahkan oleh
Saidina Umar r.a dengan katanya, “Hatiku melihat Tuhanku dengan cahaya Tuhanku” .
Saidina Ali r.a berkata, “Aku tidak menyembah Allah kecuali aku
melihat-Nya” . Mereka berdua tentu telah melihat sifat-sifat
Allah dalam kenyataan. Jika seseorang melihat cahaya matahari masuk melalui
jendela dan dia berkata, “Aku melihat matahari”, dia bercakap benar.
Allah memberi gambaran yang jelas
tentang kenyataan sifat-sifat-Nya: “ Allah
itu nur bagi langit-langit dan bumi. Bandingan nur-Nya (adalah) seperti satu
kurungan pelita yang di dalamnya ada pelita (sedang) pelita itu dalam
satu kaca, (dan) kaca itu sebagai bintang yang seperti mutiara, yang dinyalakan
(dengan minyak) dari pohon yang banyak faedah (iaitu) zaitun yang bukan bangsa
timur dan bukan bangsa barat, yang minyaknya (sahaja) hampir menerangi,
walaupun tidak disentuh api, nur atas nur, Allah pimpin kepada nur-Nya siapa
yang Dia kehendaki, dan Allah mengadakan perumpamaan bagi manusia, dan Allah
mengetahui tiap sesuatu” . (Surah Nuur, ayat 35).
Perumpamaan dalam ayat ini adalah
hati yang yakin penuh di kalangan orang yang beriman. Lampu yang menerangi
bekas hati itu ialah hakikat atau intipati kepada hati, sementara cahaya yang
dipancarkan ialah rahsia Tuhan, ‘roh sultan'. Kaca adalah lutsinar dan tidak
memerangkap cahaya di dalamnya tetapi ia melindunginya sambil menyebarkannya
kerana ia umpama bintang. Sumber cahaya adalah pohon Ilahi. Pohon itu adalah
makam atau suasana keesaan, menjalar dengan dahan dan akarnya, memupuk
prinsip-prinsip iman, berhubung tanpa perantaraan dengan bahasa yang asli.
Secara langsung, melalui bahasa
yang asli itulah Nabi s.a.w menerima pembukaan al-Quran. Dalam kenyataan
Jibrail membawa firman Tuhan hanya setelah firman tersebut diterima – ini
adalah untuk faedah kita supaya kita boleh mendengarnya dalam bahasa manusia.
Ini juga memperjelaskan siapakah yang tidak percaya dan munafik dengan memberi
mereka peluang untuk menafikannya seperti mereka tidak percaya kepada malaikat.
“Dan
sesungguhnya diwahyukan kepada kamu Quran (ini) dari sisi (Tuhan) yang
bijaksana, yang mengetahui” . (Surah Naml, ayat 6).
Oleh kerana Nabi s.a.w menerima
pembukaan sebelum Jibrail membawanya kepada baginda, setiap kali Jibrail
membawa ayat-ayat suci itu Nabi s.a.w mendapatinya di dalam hatinya dan
membacanya sebelum ayat itu diberikan. Inilah alasan bagi ayat:
“Dan janganlah engkau terburu-buru dengan Quran sebelum habis diwahyukan kepada kamu” . (Surah Ta Ha, ayat 114).
“Dan janganlah engkau terburu-buru dengan Quran sebelum habis diwahyukan kepada kamu” . (Surah Ta Ha, ayat 114).
Keadaan ini menjadi jelas sewaktu
Jibrail menemani Nabi s.a.w pada malam mikraj, Jibrail tidak terdaya untuk
pergi lebih jauh daripada Sidratul Muntaha. Dia berkata, “Jika
aku ambil satu langkah lagi aku akan terbakar” . Jibrail
membiarkan Nabi s.a.w meneruskan perjalanan seorang diri.
Allah menggambarkan pokok zaitun
yang diberkati, pokok keesaan, bukan dari timur dan bukan dari barat. Dalam
lain perkataan ia tidak ada permulaan dan tidak ada kesudahan, dan cahayanya
yang menjadi sumber tidak terbit dan tidak terbenam. Ia kekal pada masa lalu
dan tiada kesudahan pada masa akan datang. Kedua-dua Zat Allah dan
sifat-sifat-Nya adalah kekal abadi. Kedua-dua kenyataan Zat-Nya dan kenyataan
sifat-Nya bergantung kepada Zat-Nya.
Penyembahan yang sebenar hanya
boleh dilakukan apabila hijab yang menutup hati tersingkap agar cahaya abadi
menyinarinya. Hanya selepas itu hati menjadi terang dengan cahaya Ilahi. Hanya
selepas itu roh menyaksikan perumpamaan Ilahi itu.
Tujuan diciptakan alam maya
adalah untuk ditemui khazanah rahsia itu. Allah berfirman melalui Rasul-Nya: “Aku
adalah Perbendaharaan Yang Tersembunyi. Aku suka dikenali lalu Aku ciptakan
makhluk agar Aku dikenali”.
Ini bermakna Dia boleh dikenali
di dalam dunia ini melalui sifat-sifat-Nya. Tetapi untuk melihat dan mengenali
Zat-Nya sendiri hanyalah boleh terjadi di akhirat. Di sana melihat Allah adalah
secara langsung sebagaimana yang Dia kehendaki dan yang melihatnya adalah mata
bayi hati. “Beberapa muka pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannya mereka
melihat”. (Surah Qiamat, ayat 22 & 23).
Nabi s.a.w bersabda, “Aku
melihat Tuhanku di dalam rupa jejaka tampan” . Mungkin ini
adalah bayangan bayi hati. Bayangan adalah cermin. Ia menjadi alat untuk
menzahirkan yang ghaib. Hakikat Allah Yang Maha Tinggi tidak menyerupai sesuatu
samada bayangan atau bentuk. Bayangan adalah cermin, walaupun yang kelihatan
bukanlah cermin dan bukan juga orang yang melihat ke dalam cermin. Fikirkan tentang
itu dan cubalah memahaminya kerana ia adalah hakikat kepada alam
rahasia-rahasia.
Tetapi semuanya berlaku pada
makam sifat. Pada makam Zat semua kenyataan hilang, lenyap. Orang yang di dalam
makam Zat itu sendiri lenyap tetapi mereka merasai zat itu dan tiada yang lain.
Betapa jelas Nabi s.a.w menggambarkannya, “Aku daripada Allah dan yang beriman
daripadaku” . Dan Allah berfirman melalui Rasul-Nya: “ Aku
ciptakan cahaya Muhammad daripada cahaya Wujud-Ku sendiri”.
Maksud Wujud Allah adalah Zat-Nya
Yang Maha Suci, menyata di dalam sifat-sifat-Nya Yang Maha Mengasihani. Ini
dinyatakan-Nya melalui Rasul-Nya: “Rahmat-Ku mendahului murka-Ku”.
Rasul yang dikasihi Allah adalah
cahaya kebenaran sebagaimana Allah berfirman: “Tidak Kami utuskan engkau
melainkan menjadi rahmat kepada seluruh alam” . (Surah Anbiyaa', ayat 107).
“Sesungguhnya telah datang
kepada kamu rasul Kami, menerangkan kepada kamu beberapa banyak dari (isi
Kitab) yang kamu sembunyikan, dan ia tidak ambil tahu berapa banyak.
Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya dari Allah dan Kitab yang
menerangkan”. (Surah Maaidah, ayat 15).
Pentingnya utusan Allah yang
dikasihi-Nya itu jelas dengan firman-Nya kepada baginda, “Jika
tidak kerana engkau Aku tidak ciptakan makhluk”.
0 comments:
Post a Comment