7: ILMU PENGETAHUAN DAN PERKEMBANGAN KEROHANIAN
Ilmu pengetahuan zahir mengenai
benda-benda yang nyata dibahagikan kepada dua belas bahagian dan ilmu
pengetahuan batin juga dibahagikan kepada dua belas bahagian. Bahagian-bahagian
tersebut dibahagikan di kalangan orang awam dan orang khusus, hamba-hamba Allah
yang sejati, menurut kadar keupayaan dan kebolehan mereka.
Bagi tujuan yang berkaitan dengan
kita pembicaraan ilmiah mengenai ini dibuat dalam empat bahagian. Bahagian
pertama melibatkan peraturan agama , mengenai kewajipan dan
larangan berhubung dengan perkara-perkara dan peraturan-peraturan di dalam
dunia ini. Kedua menyentuh soal pengertian atau maksud dalaman
serta tujuan kepada peraturan-peraturan tersebut dan bahagian ini dinamakan
bidang kerohanian yaitu pengetahuan mengenai perkara-perkara yang tidak nyata. Ketiga mengenai
hakikat kerohanian yang tersembunyi yang dinamakan kearifan. Keempat mengenai
hakikat dalaman kepada hakikat yaitu mengenai kebenaran yang sebenar-benarnya.
Manusia yang sempurna perlu mempelajari semua bidang atau bahagian tersebut dan
mencari jalan ke arahnya.
Nabi s.a.w bersabda, “Agama
ialah pokok, kerohanian adalah dahannya, kearifan (makrifat) adalah daunnya,
kebenaran (hakikat) adalah buahnya. Quran dengan ulasannya, keterangannya,
terjemahannya dan ibarat-ibaratnya mengandungi semuanya itu” . Di
dalam buku al-Najma perkataan-perkataan tafsir, ulasan dan takwil serta
terjemahan melalui ibarat dimengertikan sebagai: ulasan terhadap Quran adalah
keterangan dan perincian bagi faedah kefahaman orang awam, sementara terjemahan
melalui ibarat adalah keterangan tentang maksud yang tersirat yang boleh
diselami melalui tafakur yang mendalam serta memperolehi ilham sebagaimana yang
dialami oleh orang-orang beriman yang sejati. Terjemahan yang demikian adalah
untuk hamba-hamba Allah yang khusus lagi teguh, berterusan di dalam suasana
kerohanian mereka dan teguh dengan pengetahuan yang membolehkan mereka membuat
pertimbangan yang benar. Kaki mereka teguh berpijak di atas bumi sementara hati
dan fikiran mereka menjulang kepada ilmu ketuhanan. Dengan rahmat Allah keadaan
berterusan begini yang tidak bercampur dengan keraguan di tempatkan di
tengah-tengah hati mereka. Hati yang teguh dalam suasana ini bersesuaian dengan
bahagian kalimah tauhid “La ilaha illa Llah” ,
pengakuan terakhir keesaan.
“Dia jualah yang menurunkan
Kitab kepada kamu. Sebahagiannya adalah ayat-ayat yang menghukum, yaitu ibu-ibu
bagi Kitab, dan (sebahagian) yang lain adalah ayat-ayat yang perlukan takwil.
Adapun orang-orang yang di hati mereka ada kesesatan mencari-cari apa yang
ditakwil daripadanya kerana hendak membuat fitnah dan kerana hendak membuat
takwilnya sendiri padahal tidak mengetahui takwilnya melainkan Allah dan
orang-orang yang teguh kuat di dalam ilmu berkata, ‘Kami beriman kepadanya
(kerana) semua itu daripada Tuhan kami', dan tidak mengerti melainkan orang-orang
yang mempunyai fikiran”. (Surah Imraan, ayat 7)
Jika pintu kepada ayat ini
terbuka akan terbuka juga semua pintu-pintu kepada alam rahasia batin.
Hamba Allah yang sejati
berkewajipan melaksanakan perintah-perintah-Nya dan menjauhkan diri daripada
larangan-Nya. Dia juga perlu menentang ego dirinya dan membendung kecenderungan
jasad yang tidak sehat. Asas penentangan ego terhadap agama adalah dalam bentuk
khayalan dan gambaran yang bercanggah dengan kenyataan. Pada peringkat
kerohanian ego yang khianat itu menggalakkan seseorang supaya memperakui dan
mengikuti sebab-sebab dan rangsangan yang hanya hampir dengan kebenaran (bukan
kebenaran yang sejati), walaupun ianya risalat nabi dan fatwa wali yang telah
diubah, juga mengikuti guru yang pendapatnya salah. Pada peringkat makrifat ego
cuba menggalakkan seseorang supaya memperakui kewalian dirinya sendiri malah
ego juga mengheret seseorang kepada mengakui ketuhanannya – dosa paling besar
menganggapkan diri sendiri sebagai bersekutu dengan Allah. Allah berfirman: “Tidakkah
engkau perhatikan orang yang mengambil hawa nafsunya sebagai tuhan..” (Surah
Furqaan, ayat 43).
Tetapi peringkat kebenaran sejati
adalah berbeda. Ego dan iblis tidak boleh sampai ke sana . Malah malaikat juga
tidak sampai ke sana . Sesiapa sahaja kecuali Allah jika sampai ke sana pasti
terbakar. Jibrail berkata kepada Nabi Muhamamd s.a.w pada sempadan peringkat
ini, “Jika aku mara satu langkah lagi aku akan terbakar menjadi abu”.
Hamba Allah yang sejati bebas
daripada perlawanan egonya dan iblis kerana dia dilindungi oleh perisai
keikhlasan dan kesucian.
“Ia (iblis) berkata: Oleh itu demi kemuliaan-Mu, aku akan sesatkan mereka semuanya, kecuali di antara mereka hamba-hamba-Mu yang dibersihkan” . (Surah Shad, ayat 82 & 83).
“Ia (iblis) berkata: Oleh itu demi kemuliaan-Mu, aku akan sesatkan mereka semuanya, kecuali di antara mereka hamba-hamba-Mu yang dibersihkan” . (Surah Shad, ayat 82 & 83).
Manusia tidak dapat mencapai
hakikat kecuali dia suci murni kerana sifat-sifat keduniaannya tidak akan
meninggalkannya sehinggalah hakikat menyata dalam dirinya. Ini adalah
keikhlasan sejati. Kejahilannya hanya akan meninggalkannya bila dia menerima
pengetahuan tentang Zat Allah. Ini tidak dapat dicapai dengan pelajaran; hanya
Allah tanpa pengantaraan boleh mengajarnya. Bila Allah Yang Maha Tinggi sendiri
yang menjadi Guru, Dia kurniakan ilmu yang daripada-Nya sebagaimana Dia lakukan
kepada Khaidhir. Kemudian manusia dengan kesedaran yang diperolehinya sampai
kepada peringkat makrifat di mana dia mengenali Tuhannya dan menyembah-Nya yang
dia kenal.
Orang yang sampai kepada suasana
ini memiliki penyaksian roh suci dan dapat melihat kekasih Allah, Nabi Muhamamd
s.a.w. Dia boleh bercakap dengan baginda s.a.w mengenai segala perkara daripada
awal hingga ke akhirnya dan semua nabi-nabi yang lain memberikannya khabar
gembira tentang janji penyatuan dengan yang dikasihi. Allah menggambarkan
suasana ini: “Kerana Barangsiapa taat kepada Allah dan rasul-Nya, maka mereka
beserta orang-orang yang diberi nikmat daripada nabi-nabi, siddiqin, syuhada
dan salihin dan Alangkah baiknya mereka ini sebagai sahabat rapat”. (Surah
Nisaa' ,ayat 69).
Orang yang tidak boleh menemui
pengetahuan ini di dalam dirinya tidak akan menjadi arif walaupun dia membaca
seribu buah buku. Nikmat yang boleh diharapkan oleh orang yang mempelajari ilmu
zahir ialah syurga; di sana semua yang dapat dilihat adalah kenyataan
sifat-sifat Ilahi dalam bentuk cahaya. Tidak kira bagaimana sempurna
pengetahuannya tentang perkara nyata yang boleh dilihat dan dipercayai, ia
tidak membantu seseorang untuk masuk kepada suasana kesucian dan mulia, iaitu
kehampiran dengan Allah, kerana seseorang itu perlu terbang ke tempat tersebut
dan untuk terbang perlu kepada dua sayap. Hamba Allah yang sejati adalah yang
terbang ke sana dengan menggunakan dua sayap, iaitu pengetahuan zahir dan
pengetahuan batin, tidak pernah berhenti di tengah jalan, tidak tertarik dengan
apa sahaja yang ditemui dalam perjalanannya. Allah berfirman melalui rasul-Nya:
“Hamba-Ku,
jika kamu ingin masuk kepada kesucian berhampiran dengan-Ku jangan pedulikan
dunia ini ataupun alam tinggi para malaikat, tidak juga yang lebih tinggi di
mana kamu boleh menerima sifat-sifat-Ku yang suci”.
Dunia kebendaan ini menjadi
godaan dan tipu daya syaitan kepada orang yang berilmu. Alam malaikat menjadi
rangsangan kepada orang yang bermakrifat dan suasana sifat-sifat Ilahi menjadi
godaan kepada orang yang memiliki kesedaran terhadap hakikat. Sesiapa yang
berpuas hati dengan salah satu daripada yang demikian akan terhalang daripada
kurniaan Allah yang membawanya hampir dengan Zat-Nya. Jika mereka tertarik
dengan godaan dan rangsangan tersebut mereka akan berhenti, mereka tidak boleh
maju ke hadapan, mereka tidak boleh terbang lebih tinggi. Walaupun matlamat
mereka adalah kehampiran dengan Pencipta mereka tidak lagi boleh sampai ke sana
. Mereka telah terpedaya, mereka hanya memiliki satu sayap.
Orang yang mencapai kesedaran
tentang hakikat yang sebenar, menerima rahmat dan kurniaan dari Allah yang
tidak pernah mata melihatnya dan tidak pernah telinga mendengarnya dan tidak
pernah hati mengetahui namanya. Inilah syurga kehampiran dan keakraban dengan
Allah. Di sana tidak ada mahligai permata juga tidak ada bidadari yang cantik
sebagai pasangan. Semoga manusia mengetahui nilai dirinya dan tidak
berkehendak, tidak menuntut apa yang tidak layak baginya. Saidina Ali r.a
berkata, “Semoga Allah merahmati orang yang mengetahui harga dirinya, yang tahu
menjaga diri agar berada di dalam sempadannya, yang memelihara lidahnya, yang
tidak menghabiskan masanya dan umurnya di dalam sia-sia”.
Orang
yang berilmu mestilah menyedari bahawa bayi roh yang lahir dalam hatinya adalah
pengenalan mengenai kemanusiaan yang sebenar, iaitu insan yang sejati. Dia
patut mendidik bayi hati, ajarkan keesaan melalui berterusan menyedari tentang
keesaan – tinggalkan keduniaan kebendaan ini yang berbilang-bilang, cari alam
kerohanian, alam rahsia di mana tiada yang lain kecuali Zat Allah. Dalam
kenyataannya di sana bukan tempat, ia tidak ada permulaan dan tidak ada
penghujung. Bayi hati terbang melepasi padang yang tiada berkesudahan itu,
menyaksikan perkara-perkara yang tidak pernah dilihat mata sebelumnya, tiada
sesiapa bercerita mengenainya, tiada sesiapa boleh menggambarkannya. Tempat
yang menjadi rumah kediaman bagi mereka yang meninggalkan diri mereka dan
menemui keesaan dengan Tuhan mereka, mereka yang memandang dengan pandangan
yang sama dengan Tuhan mereka, pandangan keesaan. Bila mereka menyaksikan
keindahan dan kemuliaan Tuhan mereka tidak ada apa lagi yang tinggal dengan
mereka. Bila dia melihat matahari dia tidak dapat melihat yang lain, dia juga
tidak dapat melihat dirinya sendiri. Bila keindahan dan kemurahan Allah menjadi
nyata apa lagi yang tinggal dengan seseorang? Tidak ada apa-apa!
Nabi
s.a.w bersabda, “Seseorang
perlu dilahirkan dua kali untuk sampai kepada alam malaikat”. Ia
adalah kelahiran maksud daripada perbuatan dan kelahiran rohani daripada jasad.
Kemungkinan yang demikian ada dengan manusia. Ini adalah keanehan rahsia
manusia. Ia lahir daripada percampuran pengetahuan tentang agama dan kesedaran
terhadap hakikat, sebagaimana bayi lahir hasil daripada percampuran dua titik
air.
“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia daripada
setitik (mani) yang bergiliran, yang Kami berikan percubaan kepada mereka,
iaitu Kami jadikan dia mendengar dan melihat”. (Surah Insaan, ayat 2).
Bila
maksud menjadi nyata dalam kewujudan ia menjadi mudah untuk melepasi bahagian
yang cetek dan masuk ke dalam laut penciptaan dan membenamkan dirinya ke dasar
hukum-hukum peraturan Allah. Sekalian alam kebendaan ini hanyalah satu titik
jika dibandingkan dengan alam kerohanian. Hanya bila semua ini difahamkan maka
kuasa kerohanian dan cahaya keajaiban yang bersifat ketuhanan, hakikat yang
sebenar-benarnya, memancar ke dalam dunia tanpa perkataan tanpa suara.
0 comments:
Post a Comment