20: PUASA SYARIAT DAN PUASA KEROHANIAN
Puasa syariat adalah
menahan
diri daripada makan, minum dan bersetubuh daripada terbit fajar hinggalah
terbenam matahari . Puasa kerohanian selain yang
demikian ditambah lagi memelihara pancaindera dan fikiran daripada
perkara-perkara yang keji. Ia adalah melepaskan segala yang tidak sesuai, zahir
dan batin. Rosak sedikit sahaja niat mengenainya rosaklah puasa
rohani. Puasa syariat terikat dengan masa sementara puasa rohani pula
berkekalan di dalam kehidupan sementara ini dan kehidupan abadi di akhirat.
Inilah puasa yang sebenar.
Nabi s.a.w bersabda, “Ramai
orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan
dahaga”. Puasa syariat ada waktu berbuka tetapi puasa rohani
berjalan terus walaupun matahari sudah terbenam, walaupun mulut sudah merasakan
makanan. Mereka adalah yang menjaga pancaindera dan pemikiran bebas daripada
kejahatan dan yang menyakitkan orang lain. Untuk itu Allah telah berjanji, “Puasa
adalah amalan untuk-Ku dan Aku yang membalasnya” . Mengenai dua
jenis puasa itu Nabi s.a.w bersabda, “Orang yang berpuasa mendapat dua kesukaan.
Pertama bila dia berbuka dan kedua bila dia melihat” . Orang
yang mengenali zahir agama mengatakan kesukaan yang pertama itu ialah kesukaan
ketika berbuka puasa dan ‘kesukaan apabila mereka melihat' itu ialah melihat
anak bulan Syawal menandakan hari raya. Orang yang mengetahui makna batin bagi
puasa mengatakan kesukaan berbuka puasa ialah apabila seseorang yang beriman
itu masuk syurga dan menikmati balasan di dalamnya, dan kesukaan yang lebih
lagi ialah ‘apabila melihat', yang bermaksud apabila orang yang beriman melihat
Allah dengan mata rahsia bagi hati.
Lebih berharga daripada dua jenis
puasa itu ialah puasa yang sebenarnya ( puasa hakikat ), iaitu
mengelakkan hati daripada menyembah sesuatu yang lain dari Zat Allah .
Ia dilakukan dengan mata hati buta terhadap semua kewujudan, walaupun di dalam
alam rahsia di luar daripada alam dunia ini, melainkan kecintaan kepada Allah,
kerana walaupun Allah menjadikan segala-galanya untuk manusia, Dia jadikan
manusia untuk-Nya, dan Dia berfirman: “Insan adalah rahsia-Ku dan Aku rahsianya” .
Rahasia
itu ialah cahaya daripada cahaya Allah Yang Maha Suci. Ia
adalah pusat atau jantung hati, dijadikan daripada sejenis jisim yang amat
seni. Ia adalah roh yang mengetahui segala rahsia-rahsia yang hak. Ia adalah
hubungan rahsia di antara yang dicipta dengan Pencipta. Rahsia itu tidak
cenderung dan tidak mencintai sesuatu yang lain daripada Allah.
Tidak ada yang berharga untuk
diingini, tiada yang dikasihi di dalam dunia ini dan di akhirat, melainkan
Allah. Jika satu zarah sahaja daripada sesuatu memasuki hati selain kecintaan
kepada Allah, maka batallah puasa hakikat. Seseorang perlu memperbaharuinya,
menghadapkan segala kehendak dan niat kembali kepada kecintaan-Nya, di sini dan
di akhirat. Firman Allah, “Puasa adalah untuk-Ku dan hanya Aku yang
membalasnya”.
0 comments:
Post a Comment