26: PENGIKUT-PENGIKUT JALAN KEROHANIAN
Orang-orang yang mengikuti jalan
kerohanian terbahagi kepada dua bahagian atau golongan. Golongan
pertama ialah yang termasuk ke dalam kumpulan Sunnis; mereka yang mengikuti
peraturan Quran dan amalan serta peraturan yang berasal daripada kelakuan dan
perbuatan Rasulullah s.a.w. Mereka ikuti peraturan ini dalam
perkataan, perbuatan, pemikiran dan perasaan, dan mereka mengikuti maksud batin
agama – iaitu mereka mengerti bukan ikut secara taklid buta. Mereka beramal dan
hidup menurut peraturan agama, merasainya dan menikmatinya, bukan semata-mata
menanggung sesuatu yang dipaksakan ke atas mereka. Inilah jalan kerohanian yang
mereka ikut. Inilah persaudaraan hamba-hamba Allah yang berkasih sayang.
Sebahagian daripada mereka dijanjikan syurga tanpa hisab, yang lain akan
menderita sedikit azab hari kiamat dan kemudian masuk syurga. Namun ada juga sebahagian
yang memasuki neraka beberapa ketika yang singkat untuk menyucikannya daripada
dosa sebelum masuk syurga. Tiada yang akan kekal di dalam neraka. Yang akan
kekal di dalam neraka ialah orang kafir dan munafik.
Golongan kedua terdiri
daripada kumpulan-kumpulan yang bidaah. Nabi s.a.w telah memberi peringatan ,
“ Kamu,
seperti Bani Israil sebelum kamu, seperti umat Isa anak Maryam, akan
dibahagikan dan dipisahkan di antara satu sama lain. Sebagaimana mereka
mereka-reka dan mengubah-ubah, kamu juga akan mengadakan bidaah. Dengan masa
berlalu dalam bidaah, tentangan dan dosa, kamu akan jadi seperti mereka dan
berbuat yang sama. Jika mereka masuk ke dalam lubang ular yang berbisa kamu
juga akan mengikuti mereka. Kamu patut tahu Bani Israil berpecah kepada tujuh
puluh satu kumpulan. Kesemuanya dalam kesesatan kecuali satu. Dan orang Nasrani
berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan semuanya sesat kecuali satu. Aku
bimbang umatku akan dipecahkan kepada tujuh puluh tiga kumpulan. Ini terjadi
kerana mereka mengubah yang benar kepada yang salah dan yang haram kepada yang
halal menurut pertimbangan mereka sendiri, untuk muslihat dan keuntungan
mereka, kecuali satu, semua kumpulan itu akan ke neraka, dan kumpulan yang satu
itu akan selamat.” Bila ditanya siapakah yang satu diselamatkan
itu baginda bersabda, “Mereka yang mengikuti kepercayaan dan
perbuatanku serta para sahabatku”.
Di bawah ini dinyatakan
sebahagian daripada jalan bidaah yang dipegang dan diikuti oleh orang-orang
yang mengakui diri mereka orang kerohanian:
• Hululiyya
– percaya kepada penjelmaan dalam bentuk makhluk atau manusia,
mendakwa halal melihat tubuh dan wajah yang cantik, samada perempuan atau
lelaki, siapa sahaja samada isteri-isteri atau suami-suami, anak-anak perempuan
atau saudara-saudara perempuan orang lain. Mereka juga bercampur dan menari
bersama-sama. Ini jelas bertentangan dengan peraturan Islam dan menjaga
kesucian dan kehormatan di dalam peraturan tersebut.
• Haliyya –
mencari kerasukan zauk dengan cara menari, menyanyi, menjerit dan bertepuk
tangan. Mereka mendakwa syeikh mereka berada dalam suasana yang mengatasi
batasan hukum agama. Jelas sekali mereka terpesung jauh daripada perjalanan
Nabi s.a.w yang dalam tindak tanduk mematuhi hukum agama.
• Awliya'iyya
– mendakwa mereka berada dalam kehampiran dengan Allah dan
mengatakan bila hamba hampir dengan Tuhan semua kewajipan agama terangkat
daripada mereka. Seterusnya mereka mendakwa seorang wali, orang yang hampir
dengan Allah, menjadi sahabat akrab-Nya, mempunyai kedudukan yang lebih tinggi
daripada nabi. Mereka mengatakan ilmu sampai kepada Rasulullah s.a.w melalui
Jibrail sementara wali menerima ilmu secara langsung dari Tuhan. Pandangan
salah tentang suasana mereka dan apa yang mereka sifatkan kepada diri mereka
adalah dosa mereka yang paling besar yang membawa mereka kepada bidaah dan
kekufuran.
• Syamuraniyya
– percaya dunia ini kekal abadi, dan sesiapa yang mengucapkan
perkataan abadi akan terlepas daripada tuntutan agama, lagi mereka tidak ada
hukum halal dan haram. Mereka menggunakan alat musik dalam upacara ibadat
mereka. Mereka tidak memisahkan lelaki dengan perempuan. Mereka tidak
membezakan dua jantina itu. Mereka adalah kumpulan kafir yang tidak boleh
diperbetulkan lagi.
• Hubiyya –
mengatakan bila manusia sampai ke peringkat cinta mereka bebas daripada semua
kewajipan agama. Mereka tidak menutup kemaluan mereka.
• Huriyya –
seperti Haliyya, enggan menjerit, menyanyi, menari dan bertepuk tangan, mereka
menjadi kerasukan dan di dalam suasana kerasukan itu mereka mendakwa mengadakan
hubungan jenis dengan bidadari; bila keluar dari kerasukan mereka mandi junub.
Mereka dimusnahkan oleh pembohongan mereka sendiri.
• Ibahiyya
– enggan mengajak kepada kebaikan dan melarang kemungkaran.
Mereka menghukumkan haram sebagai halal. Mereka memahatkan pendapat ini kepada
kaum perempuan. Bagi mereka semua perempuan halal bagi semua lelaki.
• Mutakasiliyya
– menjadikan prinsip kemalasan dan meminta sedekah dari rumah
ke rumah sebagai cara mendapatkan keperluan harian mereka. Mereka mendakwa
telah meninggalkan segala hal ehwal dunia. Mereka gagal dan terus gagal di
dalam kemalasan mereka.
• Mutajahiliyya
– berpura-pura jahil dan dengan sengaja berpakaian tidak sopan,
cuba menunjukkan dan berkelakuan seperti orang kafir, sedangkan Allah
berfirman, “Jangan cenderung kepada yang berbuat dosa”. (Surah Hud, ayat 113) .
Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa yang cuba berlagak seperti satu kaum
dia dianggap salah seorang dari mereka”.
• Wafiqiyya
– mendakwa hanya Allah yang boleh kenal Allah. Jadi, mereka
membuang jalan kebenaran. Kejahilan yang disengajakan membawa mereka kepada
kemusnahan.
• Ilhamiyya
– berpegang dan mengharapkan kepada ilham, meninggalkan ilmu
pengetahuan, melarang belajar, dan berkata Quran adalah hijab bagi mereka, dan
fikiran puisi adalah Quran mereka. Mereka meninggalkan Quran dan sembahyang,
sebaliknya mengajarkan anak-anak mereka puisi.
Pemimpin-pemimpin dan guru-guru
dari kumpulan Sunni mengatakan para sahabat, dengan berkat kehadiran Rasulullah
s.a.w di tengah-tengah mereka, berada dalam suasana zauk dan keghairahan
kerohanian yang sangat tinggi. Pada zaman kemudian peringkat kerohanian yang
demikian tidak tercapai lagi oleh orang ramai dan ia menjadi semakin hilang.
Yang masih tinggal diturunkan kepada pewaris-pewaris kerohanian pada jalan
kebenaran Ilahi, yang kemudiannya terbahagi kepada banyak cabang-cabang. Ia
berpecah kepada terlalu banyak kumpulan sehingga kebijaksanaan dan tenaganya
menjadi sangat berkurangan dan berselerak. Dalam banyak kes segala yang tinggal
hanyalah rupa yang dibaluti oleh pakaian guru kerohanian tanpa sebarang makna,
kekuatan dan tenaga di bawah pakaian tersebut. Walaupun dalam suasana kosong
itu ia masih juga berpecah dan berganda, bertukar menjadi bidaah. Sebahagian
menjadi Qalandari – peminta sedekah yang mengembara. Yang lain menjadi Haydari
dan berpura-pura menjadi wira. Yang lain pula menamakan diri mereka
Adhami dan berpura-pura mengikuti wali Allah Ibrahim Adham yang
meninggalkan takhta kerajaan dunia ini. Masih ramai lagi yang lain.
Dalam zaman kita mereka yang
mengikuti jalan kebenaran sesuai dengan hukum agama menjadi semakin
berkurangan. Pengikut-pengikut yang benar pada jalan ini boleh dikenali melalui
dua kenyataan. Pertama, kenyataan zahir, yang menunjukkan keadaan kehidupan harian
mereka yang dibentengi oleh hukum dan amalan agama. Kedua kenyataan dalaman,
contoh teladan yang si pencari itu ikuti dan lahirkan dan dengan apa yang dia
dibimbingkan. Sesungguhnya tiada yang lain untuk diikuti melainkan Nabi
Muhamamd s.a.w, yang menjadi teladan, yang pada satu masa dahulu baginda
sendiri berada dalam suasana mencari dan kebenaranlah yang baginda cari. Tanpa
ragu-ragu roh suci baginda sahaja yang menjadi perantaraan. Itulah
undang-undang yang mesti dipatuhi oleh orang yang beriman bagi penerusan
kehidupan agama dalam kehidupan. Cara lain, wali yang memiliki pesaka
kerohanian Nabi s.a.w boleh memberkati si pencari dengan kewujudan
kebendaannya. Sesungguhnya syaitan tidak boleh mengambil rupa Nabi s.a.w.
Waspadalah wahai pengembara pada
jalan kerohanian, orang buta tidak boleh memimpin orang buta. Perhatian kamu
mesti bersungguh-sungguh agar kamu dapat membezakan kebaikan yang paling kecil
daripada kejahatan yang paling kecil.
0 comments:
Post a Comment