9: KEROHANIAN ISLAM DAN AHLI SUFI
Sufi adalah perkataan Arab –
saf, yang bererti tulen. Alam batin sufi dipersucikan, menjadi tulen dan
diterangi oleh cahaya makrifat, penyatuan dan keesaan.
Istilah sufi dikaitkan juga dengan
bidang kerohanian mereka yang sentiasa berhubung dengan sahabat-sahabat
Rasulullah s.a.w yang dikenali sebagai ‘puak yang memakai baju bulu'.
Saf, pakaian bulu yang kasar menggambarkan keadaan mereka yang miskin lagi
hina. Kehidupan dunia di dalam kesempatan. Mereka berjimat cermat di dalam
makanan, minuman dan lain-lain. Dalam buku ‘al-Majm' ada dikatakan,
“Apa
yang terjadi kepada ahli suluk yang suci ialah pakaian dan kehidupan mereka
sangat sederhana dan hina”. Walaupun mereka kelihatan tidak menarik
secara keduniaan tetapi hikmah kebijaksanaan (makrifat) mereka ternyata pada
sifat mereka yang lemah lembut dan halus, yang menjadikan mereka menarik kepada
sesiapa yang mengenali mereka. Mereka menjadi contoh kepada alam manusia.
Mereka berpandukan ilmu Ilahi. Pada pandangan Tuhan mereka berada pada martabat
pertama kemanusiaan. Dalam pandangan mereka yang mencari Tuhan puak sufi ini
kelihatan cantik walaupun pada zahirnya buruk. Mereka mesti dikenali dan
berupaya mengenali, dan mereka dengan mesti dengan cara itu iaitu satu dan
semua, kerana mereka semua berada pada makam keesaan dan mesti nyata sebagai
satu.
Dalam bahasa Arab perkataan
tasawwuf, kerohanian Islam, terdiri daripada empat huruf – ‘ta', ‘sin',
‘wau' dan ‘pa' (t,s,w,f). Huruf pertama, t, bermaksud taubat . Ini
adalah langkah pertama perlu diambil pada jalan ini. Ia adalah seolah-olah dua
langkah, satu zahir dan satu batin . Taubat
zahir dalam perkataan, perbuatan dan perasaan, menjaga kehidupan agar bebas
daripada dosa dan kesalahan dan cenderung untuk berbuat kebaikan dan ketaatan;
meninggalkan keingkaran dan penentangan, mencari kesejahteraan dan kedamaian .
Taubat
batin dilakukan oleh hati. Penyucian hati daripada hawa nafsu duniawi yang huru
hara dan hati bulat berazam mahu mencapai alam ketuhanan. Taubat – mengawasi
kesalahan dan meninggalkannya, menyedari kebenaran dan berjuang ke arahnya –
membawa seseorang kepada langkah kedua.
Langkah kedua ialah keadaan
aman dan sejahtera, safa . Huruf ‘s' adalah simbolnya .
Dalam peringkat ini juga ada dua langkah perlu diambil. Pertama
ialah ke arah kesucian di dalam hati dan kedua pula ke arah pusat hati. Hati
yang tenang datang daripada hati yang bebas daripada kesusahan, keresahan yang
disebabkan oleh masalah semua kebendaan ini, masalah makan, minum, tidur,
perkataan yang sia-sia. Dunia ini seumpama tenaga tarikan bumi, menarik hati ke
bawah, dan untuk membebaskan hati daripada masalah tersebut menyebabkan berlaku
tekankan kepada hati. Di sana ada pula ikatan-ikatan – hawa nafsu dan kehendak,
pemilikan, kasihkan keluarga dan anak-anak – yang mengikat hati seni kepada
bumi dan menghalangnya terbang tinggi.
Cara membebaskan hati, bagi
menyucikannya, adalah dengan mengingati Allah. Pada permulaan ingatkan ini
berlaku secara luaran, dengan mengulangi nama-nama Tuhan, menyebutnya kuat-kuat
sehingga kamu dan orang lain boleh mendengarnya. Apabila ingatkan kepada-Nya
sudah berterusan ingatkan tersebut masuk ke dalam hati dan berlaku di dalam
senyap. Allah berfirman: “Sesungguhnya orang mukmin itu ialah mereka
yang apabila disebut (nama) Allah, takutlah hati-hati mereka, dan apabila
dibacakan ayat-ayat Allah menambahkan lagi keimanan mereka, dan kepada Tuhan
merekalah mereka kembali” . (Surah Anfaal, ayat 2).
Takutkan Allah dalam ayat
tersebut bermaksud takut dan harap, hormat dan kasihkan Allah. Dengan ingatan
dan ucapan nama-nama Allah hati menjadi jaga dari ketiduran dan kelalaian,
menjadi suci bersih dan bersinar. Kemudian bentuk dan rupa dari alam ghaib
menyata di dalam hati. Nabi s.a.w bersabda, “Ahli ilmu zahir mendatangi dan menerkam
sesuatu dengan akal fikirannya sementara ahli ilmu batin sibuk membersihkan dan
menggilap hati mereka”.
Kesejahteraan pada pusat rahsia
bagi hati diperolehi dengan membersihkan hati daripada segala sesuatu dan
menyediakannya untuk menerima Zat Allah semata-mata yang memenuhi ruang hati
apabila hati sudah diperindahkan dengan kecintaan Allah. Alat pembersihannya
ialah berterusan mengingati dan menyebut di dalam hati, dengan lidah rahsia
akan kalimah tauhid “La ilaha illa Llah”. Bila hati dan pusat hati
berada dalam suasana tenang dan damai maka peringkat kedua yang disimbolkan
sebagai huruf ‘s' selesai.
Huruf ketiga ‘w' bermaksud
wilayah, suasana kesucian dan keaslian pencinta-pencinta Allah dan
sahabat-sahabat-Nya . Keadaan ini bergantung kepada kesucian
batin. Allah menggambarkan sahabat-sahabat-Nya dengan firman-Nya: “Ketahuilah,
sesungguhnya pembantu-pembantu Allah tidak ada ketakutan atas mereka dan tidak
mereka berdukacita. Bagi merekalah kegembiraan di penghidupan dunia dan
akhirat…”. (Surah Yunus, ayat 62 – 64).
Seseorang yang di dalam kesucian
menyedari sepenuhnya tentang Allah, mencintai-Nya fan berhubungan dengan-Nya.
Hasilnya dia diperelokkan dengan peribadi, akhlak dan perangai yang terbaik.
Ini merupakan hadiah suci yang dikurniakan kepada mereka. Nabi s.a.w bersabda, “Perhatikanlah
akhlak yang mulia dan berbuatlah sesuai dengannya” . Dalam
peringkat ini orang yang di dalam kesedaran tersebut meninggalkan sifat-sifat
keduniaannya yang sementara dan kelihatanlah dia diliputi oleh sifat-sifat
Ilahi yang suci. Dalam hadis Qudsi Allah berfirman: “Bila
Aku kasihkan hamba-Ku, Aku menjadi pendengarannya, penglihatannya,
percakapannya, pemegangnya dan perjalanannya”.
Keluarkan segala-galanya dari
hati kamu dan biarkan Allah sahaja yang berada di sana . “Dan
katakanlah telah datang kebenaran dan telah lenyap kepalsuan kerana
sesungguhnya kepalsuan itu akan lenyap”. (Surah Bani Israil, ayat 81).
Bila kebenaran telah datang dan
kepalsuan telah lenyap maka selesailah peringkat wilayah.
Huruf keempat ‘f' bermakna
fana, lenyap diri sendiri ke dalam ketiadaan. Diri yang palsu akan hancur dan
hilang apabila sifat-sifat yang suci memasuki seseorang, dan apabila
sifat-sifat serta keperibadian yang banyak menghalang tempatnya akan diganti
oleh satu sahaja sifat keesaan.
Dalam kenyataan hakikat sentiasa
hadir. Ia tidak hilang dan tidak juga berkurangan. Apa yang berlaku adalah
orang yang beriman menyedari dan menjadi satu dengan yang menciptakannya. Dalam
suasana berada dengan-Nya orang yang beriman memperolehi kurniaan-Nya; manusia
yang sementara menemui kewujudan yang sebenar dengan menyedari rahsia abadi. “Semua
akan binasa kecuali Wajah-Nya”. (Surah Qasas, ayat 88).
Cara untuk menyedari hakikat ini
ialah melalui anugerah-Nya, dengan kehendak-Nya. Bila kamu berbuat kebaikan
semata-mata kerana-Nya dan bersesuaian dengan kehendak-Nya kamu akan menjadi
hampir dengan hakikat-Nya, Zat-Nya. Kemudian semua akan lenyap kecuali Yang Esa
yang meredai dan yang Dia diredai, bersatu. Perbuatan baik adalah ibu yang
melahirkan bayi kebenaran; kehidupan dalam kesedaran bagi manusia yang
sebenar-benarnya.
“Perkataan yang baik dan
perbuatan yang baik naik kepada Allah” . (Surah Fatir, ayat 10).
Jika seseorang berbuat sesuatu
dan jika kewujudannya bukan untuk Allah sahaja maka dia mengadakan sekutu bagi
Allah, dia meletakkan yang lain pada tempat Allah – dosa yang tidak diampunkan
yang akan memusnahkannya, lambat atau cepat. Tetapi bila diri dan kepentingan
diri fana seseorang itu mencapai peringkat bersatu dengan Allah. Allah
menggambarkan makam tersebut: “Sesungguhnya orang-orang yang berbakti
(adalah) dalam kebun-kebun dan (dekat) sungai-sungai. Di tempat duduk
kebenaran, di sisi Raja Agung yang sangat berkuasa”. (Surah Qamar, ayat 54
& 55).
Tempat itu ialah tempat bagi
hakikat yang penting, hakikat kepada hakikat-hakikat, tempat penyatuan dan
keesaan. Ia adalah tempat yang disediakan untuk nabi-nabi, untuk mereka yang
dikasihi oleh Allah, untuk para sahabat-Nya. Allah beserta orang-orang yang benar.
Bila kewujudan bersatu dengan wujud yang abadi ia tidak boleh dipandang sebagai
kewujudan yang terpisah. Bila semua ikatan keduniaan ditanggalkan dan seseorang
itu dalam suasana kesatuan dengan Allah, dengan kebenaran (hakikat) Ilahi, dia
menerima kesucian yang abadi, tidak akan tercemar lagi, dan masuk ke dalam
golongan: “Mereka itu ahli syurga yang kekal di dalamnya”. (Surah A'raaf,
ayat 42).
Mereka adalah: “Orang-orang
yang beriman dan beramal salih” . (Surah A'raaf, ayat 42).
Bagaimanapun: “ Kami tidak
memberatkan satu diri melainkan sekadar kuasanya” . (Surah A'raaf, ayat 42).
Tetapi seseorang memerlukan
kesabaran yang kuat: “Dan Allah beserta orang yang sabar” . (Surah
Anfaal, ayat 66).
0 comments:
Post a Comment