22: MENYAKSIKAN YANG HAK MELALUI SUASANA
KEDAMAIAN YANG DATANG DARIPADA PELEPASAN SEGALA KEDUNIAAN DAN MELALUI ZAUK.
Nabi s.a.w bersabda, “Satu
ilham Ilahi yang memutuskan seseorang daripada dunia ini dan kurniaan atas
seseorang akan kenyataan atau cermin sifat-sifat Tuhan, menampakkan kepada
seseorang keesaan Ilahi, lebih baik daripada pengalaman dunia dan akhirat” . Dan,
“Orang
yang tidak mengalami zauk (keghairahan) yang daripadanya menerima kenyataan
makrifat Ilahi dan yang hak adalah tidak hidup”.
Banyak ayat-ayat dan hadis-hadis
serta perkhabaran daripada wali-wali menceritakan suasana ini. “Dan
apakah orang yang Allah luaskan dadanya kepada Islam, iaitu ia berjalan atas
nur dari Tuhannya (sama dengan yang beku hatinya?). Maka kecelakaan (adalah)
bagi mereka yang beku hatinya dari mengingat Allah. Mereka itu (adalah) dalam
kesesatan yang nyata. Allah telah turunkan sebaik-baik perkataan, kitab yang
sebahagiannya menyerupai sebahagiannya, yang diulang-ulangkan, yang seram
lantarannya kulit-kulit badan orang yang takut kepada Tuhannya. Kemudian jadi
lemas kulit-kulit mereka dan hati-hati mereka kepada mengingat Allah. Yang
demikian itu pimpiman Tuhan, yang Ia pimpin dengannya siapa yang Ia kehendaki,
dan barangsiapa disesatkan oleh Allah maka tidaklah ada baginya sebarang
pimpinan”. (Surah az-Zummar, ayat 22 & 23).
Junaid al-Baghdadi berkata, “Bila
zauk (keghairahan) bertemu dengan kenyataan Ilahi di dalam diri seseorang, dia
itu berada di dalam keadaan samada kelazatan yang amat sangat atau keharuman
yang mendalam”.
Ada dua jenis zauk: zauk lahiriah
dan zauk rohaniah. Zauk lahiriah adalah hasil daripada ego diri. Ia tidak
memberi kepuasan secara rohaniah. Ia dipengaruhi oleh pancaindera. Sering kali
ianya kepura-puraan, berlaku agar dilihat atau diketahui oleh orang lain. Zauk
jenis ini tidak berharga sedikit pun kerana ianya disengajakan, dengan kehendak
atau niat: orang yang mengalaminya masih merasakan yang dia boleh berbuat dan
memilih (tidak ada fana padanya). Tidak guna menganggap penting pengalaman yang
demikian.
Zauk kerohanian, Bagaimanapun,
keseluruhannya berbeza, suasana yang dihasilkan oleh pengaliran tenaga
kerohanian yang melimpah ruah. Secara biasa, pengaruh luar – seperti puisi yang
indah yang dibaca, atau Quran dibaca dengan suara yang merdu, atau keghairahan
yang dicetuskan oleh upacara zikir sufi – boleh mengakibatkan peningkatan
kerohanian. Ini berlaku kerana pada ketika itu penentangan lahiriah seseorang
dihapuskan, kehendak dan kekuatan akal untuk memilih diatasi. Bila kekuatan
badan dan fikiran sudah dilemahkan suasana zauk adalah semata-mata bersifat
kerohanian. Meneruskan perjalanan dengan pengalaman yang demikian sangat besar
gunanya bagi seseorang. “Dan orang yang menjauhi berhala-hala daripada
menyembahnya dan kembali kepada Allah adalah bagi mereka khabar yang
menggirangkan. Oleh itu girangkanlah hamba-hamba-Ku. Yang mendengar perkataan
lalu menurut yang sebaik-baiknya. Merekalah orang-orang yang dipimpin oleh
Allah dan mereka itu ialah orang-orang yang mempunyai fikiran”. (Surah
az-Zumar, ayat 17 & 18).
Nyanyian merdu burung-burung,
keluhan pencinta, adalah sebahagian daripada penyebab luar yang menggerakkan
tenaga kerohanian. Dalam suasana tenaga kerohanian yang demikian syaitan dan
ego tidak boleh campur tangan; iblis bertindak di dalam alam kegelapan
perbuatan-perbuatan yang muncul daripada ego diri dan tidak boleh berbuat
apa-apa di dalam alam kemurahan dan keampunan yang bercahaya. Dalam alam
kemurahan dan keampunan Allah, syaitan menjadi cair laksana garam di dalam air,
sama seperti ia hilang apabila dibaca: “La haula wala quwwata illa billahil ‘aliyyil
‘azim” – Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah
Yang Maha Tinggi, Maha Mulia.
Pengaruh-pengaruh yang
merangsangkan zauk kerohanian diterangkan oleh hadis, “Ayat-ayat Quran, puisi
yang berhikmah dan ajaib mengenai cinta dan bunyi serta suara kerinduan
menyalakan wajah roh”.
Zauk sebenar adalah hubungan
cahaya dengan cahaya bila roh insan bertemu dengan cahaya Ilahi. Allah
berfirman: “Yang suci untuk yang suci pula”. (Surah an-Nuur, ayat 26).
Jika zauk datang dari rangsangan
ego dan syaitan tiada cahaya di sana . Di sana hanya ada kegelapan tanpa
cahaya, ragu-ragu, penafian dan kekeliruan. Kegelapan menjadi bapa kepada
kegelapan. Dalam bahagian roh dan jiwa, ego tidak ada bahagian. Firman Tuhan: “Yang
tidak suci untuk yang tidak suci pula”. (Surah an-Nuur, ayat 26).
Penzahiran suasana zauk ada dua
jenis: penzahiran zauk lahiriah yang bergantung kepada kehendak diri sendiri
dan penzahiran zauk kerohanian yang di luar pilihan dan kehendak seseorang.
Dalam kes pertama yang nyata ialah disengajakan. Jika seseorang menggeletar,
bergoyang dan meraung walaupun bukan di bawah pengaruh kesakitan atau gangguan
dalam tubuh, ia tidak dianggap sah. Apa yang sah ialah perubahan yang nyata
pada keadaan lahiriah yang tidak disengajakan dan disebabkan oleh keadaan batin
seseorang.
Penzahiran yang tidak
disengajakan adalah akibat tenaga kerohanian yang tidak dapat dikawal oleh
seseorang. Rohnya yang di dalam zauk mengatasi pancaindera. Ia adalah umpama
keadaan meracau orang yang demam panas, agak tidak mungkin mencegah orang yang
demikian daripada terketar-ketar, bergoyang dan menjadi kaku di dalam meracau
itu kerana dia tidak ada kuasa terhadap penzahiran yang keluar atau berlaku
kepadanya itu. Begitu juga bila tenaga kerohanian membesar sehingga mengalahkan
kehendak, fikiran dan tubuh badan, zauk yang lahir daripada yang demikian adalah
benar, jujur dan bersifat kerohanian. Keadaan zauk kerohanian yang demikian,
yang di masuki oleh para sahabat akrab Allah di dalam melakukan pergerakan dan
pusingan pada upacara mereka, adalah cara untuk menimbulkan keghairahan dan
dorongan pada hati mereka. Ini adalah makanan bagi mereka yang mengasihi Allah;
ia memberikan tenaga di dalam perjalanan mereka yang sukar dalam mencari yang
hak. Nabi s.a.w bersabda, “Upacara keghairahan yang dilakukan oleh para
pencinta Allah, tarian dan nyanyian mereka, merupakan kewajipan bagi
sebahagian, dan bagi sebahagian yang lain adalah harus sementara bagi yang lain
pula adalah bidaah. Ia adalah kewajipan bagi manusia yang sempurna, harus bagi
kekasih Allah dan bagi yang lalai adalah bidaah” . Dan,
“Adalah
sifat yang tidak sihat bagi orang yang tidak merasa kelazatan berada bersama
kekasih Allah: puisi orang arif yang mereka nyanyikan, musim bunga, warna dan
keharuman bunga, burung dan nyanyiannya”.
Orang yang lalai, yang
menganggapkan mencari zauk kerohanian sebagai bidaah, orang yang tidak sihat
sifatnya yang tidak dapat menikmati kelazatan yang indah, adalah sakit dan
tidak ada penawar untuk penyakit ini. Mereka lebih rendah daripada burung dan
haiwan, lebih rendah daripada keldai, kerana haiwan juga menikmati irama. Bila
Nabi Daud a.s melagukan suaranya burung-burung terbang di sekelilingnya untuk
menikmati kemerduan suaranya. Nabi Daud a.s berkata, “Orang yang tidak
mengalami keghairahan tidak dapat merasai agamanya”.
Terdapat sepuluh suasana zauk.
Sebahagiannya ketara dan tanda-tandanya kelihatan kepada orang lain, seperti
kesedaran rohani dan berzikir mengingati Allah dan membaca Quran dengan senyap.
Menangis, merasai penyesalan yang mendalam, takutkan azab Allah, kerinduan dan
kesayuan, malu terhadap kelalaian diri; apabila seseorang menjadi pucat atau
mukanya berseri-seri kerana keghairahan daripada suasana dalaman dan kejadian
di sekelilingnya, membara dengan kerinduan terhadap Allah – semua ini dan semua
keganjilan pada lahiriah dan rohaniah yang dihasilkan oleh perkara-perkara
tersebut adalah tanda-tanda zauk atau keghairahan.
0 comments:
Post a Comment