10: ZIKIR
Allah Yang Maha Tinggi
menunjukkan jalan kepada para pencari supaya mengingati-Nya: “Dan
hendaklah kamu sebut Dia sebagaimana Dia pimpin kamu. (Surah Baqaraah, ayat
198).
Ini bermakna Pencipta kamu telah
membawa kamu ke peringkat kesedaran dan keyakinan yang tertentu dan kamu hanya
boleh mengingati-Nya menurut kadar keupayaan tersebut. Nabi s.a.w bersabda, “Ucapan
zikir yang paling baik adalah yang aku dan sekalian nabi-nabi bawa, itulah
kalimah “La ilaha illa Llah”.
Terdapat berbagai-bagai peringkat
zikir dan masing-masing ada cara yang berlainan. Ada yang diucap dengan lidah
secara kuat dan ada pula yang diucapkan secara senyap, dari lubuk hati. Pada
peringkat permulaan seseorang perlu menyebutkan ucapan zikirnya dengan lidahnya
secara berbunyi. Kemudian peringkat demi peringkat zikir mengalir ke dalam
diri, turun kepada hati, naik kepada roh dan seterusnya pergi semakin jauh
iaitu kepada bahagian rahsia-rahsia, pergi lagi kepada yang lebih jauh iaitu
bahagian yang tersembunyi sehinggalah kepada yang paling tersembunyi daripada
yang tersembunyi. Sejauh mana zikir masuk ke dalam, peringkat yang dicapainya,
bergantung kepada sejauh mana Allah dengan kemurahan-Nya membimbing seseorang.
Zikir yang diucapkan dengan
perkataan menjadi kenyataan bahawa hati tidak lupa kepada Allah. Zikir secara
senyap di dalam hati adalah pergerakan perasaan. Zikir hati adalah dengan cara
merasakan di dalam hati tentang kenyataan tentang keperkasaan dan keelokan
Allah. Zikir adalah melalui pancaran cahaya suci yang dipancarkan oleh
keperkasaan dan keelokan Allah. Zikir pada tahap rahsia ialah melalui
keghairahan (zauk) yang diterima daripada pemerhatian rahsia suci itu. Zikir
pada bahagian tersembunyi membawa seseorang kepada: “Di
tempat duduk yang hak, di sisi Raja Agung yang sangat berkuasa”. (Surah Qamar,
ayat 55).
Zikir peringkat terakhir yang
dipanggil khafi al-khafi – yang paling tersembunyi daripada yang tersembunyi –
membawa seseorang kepada suasana fana diri sendiri dan penyatuan dengana yang
hak. Dalam kenyataannya tiada sesiapa kecuali Allah yang mengetahui keadaan
orang yang telah masuk ke dalam alam yang mengandungi semua pengetahuan,
kesudahan kepada semua dan segala perkara. “Dia mengetahui rahsia dan yang lebih
tersembunyi” . (Surah Ta Ha, ayat 7).
Bila seseorang telah melepasi
tahap zikir-zikir tersebut suasana jiwa yang berlainan seolah-olah roh lain
lahir dalam diri seseorang. Roh ini lebih tulen dan seni daripada roh-roh yang lain.
Ia adalah bayi kepada hati, bayi kepada hakikat. Ketika dalam bentuk benih bayi
ini mengajak dan menarik orang lain untuk mencari dan menemui yang hak. Setelah
ia lahir bayi ini menggesa orang lain supaya mendapatkaan Zat Allah Yang Maha
Tinggi. Roh baharu ini yang dinamakan bayi kepada hati dan juga benih serta
keupayaannya tidak terdapat pada semua orang. Ia hanya terdapat pada orang
mukmin yang tulen. “Dia jualah yang tinggi darjat-Nya, yang
memiliki arasy. Dia kirim roh dari perintah-Nya kepada sesiapa yang Dia
kehendaki:. (Surah Mukmin, ayat 15).
Roh khusus ini dihantar daripada
makam Yang Maha Perkasa dan diletakkan di dalam alam maya yang nyata di mana
sifat-sifat Pencipta menyata pada penciptaan, tetapi roh ini adalah kepunyaan
alam yang hak. Ia tidak berminat dan tidak memperdulikan apa sahaja melainkan
Zat Allah. Nabi s.a.w bersabda, “Dunia ini tidak disukai dan tidak dihajati
oleh orang yang inginkan akhirat. Akhirat pula tidak dihajati oleh orang yang
inginkan dunia, dan ia tidak akan diberi kepada mereka. Tetapi bagi roh yang
mencari Zat Allah dunia dan akhirat tidak menarik perhatiannya” .
Roh untuk yang hak. Orang yang memilikinya akan mencari, menemui dan bersama
Tuhannya.
Apa sahaja yang kamu buat di sini
zahir kamu mestilah menurut jalan yang lurus. Ia hanya mungkin dengan mengikuti
dan mematuhi serta memelihara peraturan dan hukum agama. Untuk berbuat demikian
seseorang haruslah menyedari, mengingati Allah malam dan siang, zahir dan
batin, berterusan. Bagi mereka yang menyaksikan yang hak mengingati Allah
adalah wajib sebagaimana perintah-Nya: “Maka hendaklah kamu ingat kepada Allah sambil
berdiri dan sambil duduk dan sambil (berbaring) atas rusuk-rusuk kamu” . (Surah
Nisaa', ayat 103).
“Yang mengingati Allah sambil
berdiri dan sambil duduk dan sambil berbaring dan memikirkan tentang kejadian
langit-langit dan bumi (sambil berkata), ‘Wahai Tuhan kami, Engkau tidak
jadikan (semua) ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau'” . (Surah Imraan, ayat
191).
0 comments:
Post a Comment