23: PENGASINGAN DIRI DARI DUNIA DENGAN MEMASUKI
KHALWAT DAN SULUK
Khalwat dan suluk harus dilihat
secara zahir dan batin. Khalwat zahir ialah apabila seseorang mengambil
keputusan untuk memisahkan dirinya daripada dunia, memencilkan dirinya di dalam
satu ruang yang terpisah daripada orang ramai supaya manusia dan makhluk di
dalam dunia selamat daripada kelakuan dan kewujudannya yang tidak diingini. Dia
juga berharap agar dengan berbuat demikian sumber kepada kewujudan yang tidak
diingini, egonya dan hawa nafsu badannya akan terpisah daripada bekalan
hariannya dan terhenti juga segala yang memuaskan dan mengenyangkannya.
Seterusnya dia berharap pengasingan itu akan mendidik egonya dan seleranya,
memberi peluang kepada perkembangan diri rohaninya.
Bila seseorang memutuskan
demikian niatnya mestilah ikhlas. Dalam satu segi dia seumpama meletakkan
dirinya di dalam kubur, dalam keadaan mati, mengharapkan semata-mata keredaan
Allah, berhasrat dalam hatinya melahirkan yang asli dan beriman, yang boleh
lahir daripada kewujudannya yang hina ini. Nabi s.a.w bersabda, “Yang
beriman adalah yang orang lain selamat daripada tangan dan lidahnya”.
Dia mengikat lidahnya dari
berkata yang sia-sia kerana Nabi s.a.w bersabda, “Keselamatan manusia datang
dari lidah dan kebinasaannya juga dari lidah” . Dia
menutupkan matanya daripada yang diharamkan agar pandangannya yang khianat dan
menipu daya tidak jatuh ke atas apa yang dimiliki oleh orang lain. Dia menutup
telinganya dari mendengar pembohongan dan kejahatan, dan mengikat kakinya,
membelenggunya dari pergi kepada dosa.
Nabi s.a.w bersabda menceritakan
setiap anggota badan boleh melakukan dosa sendirian, “Mata
boleh berzina” . Bila salah satu daripada pancaindera berdosa
satu makhluk hitam yang hodoh diciptakan daripadanya dan pada hari pembalasan
ia menjadi saksi terhadap dosa yang kamu lakukan. Kemudian ia dicampakkan ke
dalam neraka.
Tuhan memuji orang yang
menghindarkan dirinya daripada kesalahan kerana yang demikian merupakan
penyesalan yang sebenar, taubat yang kuat. “Adapun orang yang takut kepada kebesaran
Tuhannya, dan menegah diri daripada hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurga itu
tempat kembalinya”. (Surah an-Naazi'aat, ayat 40 & 41).
Orang yang takutkan Tuhannya dan
bertaubat, mengeluarkan kewujudannya yang hina daripada yang beriman dan
mengeluarkan keburukannya daripada imannya, ditukarkan di dalam khalwatnya,
sehingga jadilah ia jejaka tampan. Kewujudan yang elok ini menjadi khadam
kepada penghuni syurga.
Mengasingkan diri adalah benteng
menghalang musuh bagi dosa diri sendiri dan kesalahan. Di dalamnya, sendirian,
seseorang terpelihara di dalam kesucian. Firman Allah: “Barangsiapa
percaya akan pertemuan Tuhannya hendaklah ia kerjakan amal salih dan janganlah
ia sekutukan seseorang jua dalam ibadat kepada Tuhannya”. (Surah al-Kahfi, ayat
110).
Semua yang diceritakan hingga
kini adalah maksud bagi suasana khalwat zahir. Maksud khalwat batin pula ialah
mengeluarkan dari hati walaupun hanya memikirkan hal keduniaan, kejahatan dan
ego, meninggalkan makan, minum. Harta, keluarga, isteri, anak-anak dan
perhatian serta kasih sayang semuanya.
Anggapan orang lain melihat atau
mendengar tentangnya jangan masuk kepada khalwat ini. Nabi s.a.w bersabda, “Kebesaran
dan apa yang diburunya adalah bala, dan melarikan diri daripada kebesaran dan
mengharapkan pujian orang dan apa yang dibawanya adalah keselamatan.” .
Orang yang bercadang memasuki khalwat batin mestilah menutupi hatinya daripada
kemegahan, sombong, takabur, marah, dengki, khianat dan yang seumpamanya. Jika
sebarang perasaan yang demikian masuk kepadanya di dalam khalwatnya hatinya
menjadi terikat. Ia tidak lagi terlepas daripada dunia dan khalwat demikian
tidak berguna. Sekali kekotoran memasuki hati ia kehilangan kesuciannya dan
semua kebaikan terbatal. “Apa yang kamu bawa itu sihir, sesungguhnya Allah
akan membatalkannya (kerana) Allah itu tidak membaguskan amal orang-orang yang
berbuat bencana” . (Surah Yunus, ayat 81).
Walaupun perbuatan seseorang itu
kelihatan bagus pada pandangan orang lain, bila sifat-sifat buruk memasukinya,
orang itu dianggap berlaku khianat dan menipu dirinya sendiri dan juga orang
lain. Nabi s.a.w bersabda, “Sombong dan takabur mencemarkan iman. Fitnah
dan umpatan lebih buruk dari dosa zina” . Juga, “Sebagaimana
api membakar kayu dendam membakar dan menghapuskan perbuatan baik seseorang” .
Juga, “Fitnah
itu tidur, laknati ke atas siapa yang mengejutkannya” . Juga,
“Orang
yang bakhil tidak masuk syurga walaupun dia habiskan umurnya dengan ibadat” .
Juga, “Kepura-puraan
adalah bentuk sembunyi mengadakan sekutu bagi Tuhan” . Juga, “Syurga
menolak orang yang menolak orang lain”.
Banyak lagi tanda-tanda sifat
buruk yang dikutuk oleh Rasulullah s.a.w. Apa yang dinyatakan sudah memadai
untuk menunjukkan kepada kita bahawa dunia ini adalah tempat yang memerlukan
berterusan di dalam berhati-hati dan berwaspada, perlu berjalan melaluinya
dengan penuh cermat dan perhatian. Matlamat pertama jalan kerohanian ialah
menyucikan hati dan langkah untuk memperolehinya ialah membenteras keegoan dan
keinginan hawa nafsu. Di dalam khalwat, dengan berdiam diri, bertafakur dan
berzikir terus menerus, ego seseorang diperbaiki. Kemudian Allah Yang Maha
Tinggi menjadikan hati seseorang itu bercahaya.
Tiada yang dilakukan di dalam
khalwat secara perbuatan sendiri. Apa yang perlu ialah cinta, ikhlas dan keyakinan
yang sebenar. Cara ini bukan cara orang tersebut sendiri. Dia menuruti cara
para sahabat Rasulullah s.a.w, cara orang-orang yang mengikuti mereka dan cara
orang yang mengetahui cara mereka dan mengikutinya.
Bila orang yang yakin berada pada
jalan ini menurut jalan taubat, ilham dan menyucikan hatinya, Allah mencabut
dari hatinya dan dirinya segala yang merosakkan dan yang keji dan melindunginya
agar dia tidak kembali kepadanya. Wajahnya akan menjadi cantik; perasaannya,
samada dipendamkan atau dizahirkan, menjadi tulen. Apa sahaja yang dia lakukan
dilakukannya dengan cara yang terpuji kerana dia berada di dalam kehadiran
Ilahi. “Allah
mendengar orang yang memuji-Nya” . Jadi, Allah menjaganya.
Allah menerima doanya, kerinduannya dan puji-pujiannya dan mengabulkan segala
keinginannya. “Barangsiapa mahukan kemuliaan maka bagi Allah jualah semua
kemuliaan. Kepada-Nya naik perkataan yang baik, amal yang salih itu Dia angkat”
. (Surah Fatir, ayat 10).
Perkataan yang baik menyelamatkan
lidah daripada perkataan yang sia-sia. Lidah adalah alat yang baik untuk memuji
Tuhan, mengulangi nama-nama-Nya yang indah, memperakui keesaan-Nya. Allah
memberi amaran terhadap perkataan yang sia-sia: “Tidak sekali-kali!
Sesungguhnya yang demikian perkataan yang ia ucapkan padahal di belakang mereka
satu dinding hingga hari mereka dibangkitkan (mereka tidak benar dalam
perkataan mereka)”. (Surah Mukminuun, ayat 100).
Allah mengurniakan keampunan-Nya,
kasihan belas-Nya kepada orang yang belajar dan mengamalkannya dengan niat yang
baik. Dia membawanya hampir dengan membawanya kepada darjat yang lebih tinggi.
Dia reda kepadanya, Dia maafkan kesalahannya.
Bila seseorang telah dinaikkan
kepada darjat itu hatinya menjadi seperti laut. Bentuk dan warna laut itu tidak
berubah kerana sedikit Kekejaman dan penganiayaan yang orang ramai Buangkan
kepadanya. Nabi s.a.w bersabda, “Jadilah seperti laut yang tidak berubah,
tetapi di dalamnya tentera gelap (ego) kamu akan lemas” , seperti
Firaun lemas di dalam Laut Merah. Dalam lautan itu kapal agama timbul dengan
selamat dan sejahtera, ia berlayar di dalam lautan yang luas itu. Roh orang
yang di dalam khalwat terjun ke dasarnya untuk mendapatkan mutiara kebenaran,
membawa ke permukaan mutiara kebijaksanaan (makrifat) dari batu karang budi
pekerti dan menyebarkannya ke tempat yang jauh. Firman Allah: “ Keluar
daripadanya mutiara dan marjan (batu karang)”. (Surah ar-Rahmaan, ayat 22).
Untuk memelihara lautan tersebut
zahir kamu mestilah sama dengan batin kamu, diri kamu mestilah sama dengan apa
yang kelihatan pada diri kamu. Suasana zahir dan suasana batin kamu mestilah
satu. Bila ini terjadi, tiada lagi penipuan, hasutan atau kekacauan di dalam
laut hati kamu. Tiada ribut nakal yang boleh memabukkan di dalam lautan yang
tenang itu. Orang yang memperolehi suasana tersebut berada di dalam keadaan
taubat sepenuhnya; ilmunya luas dan bermanfaat, perbuatannya semuanya adalah
khidmat untuk orang lain, hatinya tidak mengalir kepada kejahatan. Jika dia
tersilap atau lupa dia dimaafkan kerana dia ingat bila dia lupa dan bertaubat
bila dia bersalah. Dia berada dalam kehampiran dengan Allah dan dirinya
sendiri.
0 comments:
Post a Comment