11: SYARAT YANG PERLU UNTUK MELAKUKAN ZIKIR
Salah satu syarat menyediakan
seseorang untuk berzikir ialah berada di dalam keadaan berwuduk; basuh dan
bersihkan tubuh badan dan sucikan hati . Pada peringkat
permulaan, supaya zikir itu berkesan, perlulah disebut kuat-kuat akan perkataan
dan ayat yang dijadikan zikir – kalimah tauhid, sifat-sifat Allah. Bila
perkataan tersebut diucapkan usahakan agar kamu berada di dalam kesedaran
(tidak lalai). Dengan cara ini hati mendengar ucapan zikir dan diterangi oleh
apa yang dizikirkan. Ia menerima tenaga dan menjadi hidup – bukan sahaja hidup
di dunia ini bahkan juga hidup abadi di akhirat. “Mereka tidak akan merasa
padanya kematian, hanya kematian pertama, dan Dia pelihara mereka daripada azab
jahanam”. (Surah Dukhaan, ayat 56).
Nabi s.a.w menceritakan bahawa
keadaan orang mukmin yang mencapai yang hak melalui zikir, “Orang
mukmin tidak mati. Mereka hanya meninggalkan hidup yang sementara ini dan pergi
kepada kehidupan abadi” . Dan mereka lakukan di sana apa yang
mereka lakukan dalam dunia. Nabi s.a.w bersabda, “Nabi-nabi dan orang-orang
yang hampir dengan Allah terus beribadat di dalam kubur seperti yang mereka
lakukan di dalam rumah mereka”. Ibadat yang dimaksudkan itu adalah penyerahan
dan merendahkan diri rohani kepada Allah bukan sembahyang yang lima waktu
sehari. Tawaduk yang di dalam diri, dengan diam, adalah nilai utama yang
menunjukkan iman yang sejati.
Makrifat tidak dicapai oleh
manusia dengan usaha tetapi ia adalah anugerah dari Allah. Setelah dinaikkan
kepada makam tersebut orang arif menjadi akrab dengan rahsia-rahsia Allah.
Allah membawa seseorang kepada rahsia-rahsia-Nya apabila hati orang itu hidup
dan sedar dengan zikir atau ingatan kepada-Nya dan jika hati yang sedar itu
bersedia menerima yang hak. Nabi s.a.w bersabda, “Mataku tidur tetapi hatiku
jaga”.
Pentingnya memperolehi makrifat
dan hakikat diterangkan oleh Nabi s.a.w, “Jika seseorang berniat mempelajari dan beramal
menurut keinginannya itu tetapi mati sebelum mencapai tujuannya, Allah melantik
dua orang malaikat sebagai guru yang mengajarnya ilmu dan makrifat sampai ke
hari kiamat. Orang itu dibangkitkan dari kuburnya sebagai orang arif yang telah
memperolehi hakikat” .
Dua orang malaikat di sini
menunjukkan roh Nabi Muhammad s.a.w dan cahaya cinta yang menghubungkan insan
dengan Allah. Pentingnya niat dan hajat selanjutnya diceritakan oleh Nabi
s.a.w, “Ramai
yang berniat belajar tetapi mati ketika masih di dalam kejahilam tetapi mereka
bangkit daripada kubur pada hari pembalasan sebagai orang arif. Ramai ahli ilmu
dibangkitkan pada hari itu dalam keadaan rosak akhlak hilang segalanya dan
jahil keseluruhannya” .
Mereka adalah orang-orang yang
bermegah dengan ilmu mereka, yang menuntut ilmu kerana muslihat duniawi dan
berbuat dosa. Mereka diberi amaran: “Dan (ingatkanlah mereka) hari yang akan dibawa
orang-orang kafir ke neraka (dan dikata), ‘Kami telah habiskan bahagian kamu
yang baik di dalam penghidupan dunia. Dan kamu telah bersuka-sukaan dengannya.
Maka pada hari ini kamu akan dibalas dengan azab yang keji lantaran kamu pernah
berlaku sombong di dunia secara tidak benar dan lantaran kamu telah melewati
batas” . (Surah Ahqaaf, ayat 20).
Nabi s.a.w bersabda, “Setiap
amal bergantung pada niat. Niat dan tujuan orang beriman lebih baik dan
bernilai pada pandangan Allah daripada amalannya. Niat orang yang tidak beriman
lebih buruk daripada apa yang nyata dengan amalannya” . Niat
adalah asas amalan. Nabi s.a.w, “Adalah baik membena kerja kebajikan di atas
tapak yang baik, dan dosa adalah perbuatan yang dibina di atas tapak yang
jahat”. “Barangsiapa hendak ke taman akhirat Kami tambah untuknya pada ke
tamannya, dan barangsiapa mahu ke taman dunia Kami akan beri kepadanya
sebahagian daripadanya, tetapi tidak ada baginya bahagian akhirat”. (Surah
Syura, ayat 20).
Cara terbaik ialah mencari guru
kerohanian yang akan membawa hati kamu hidup. Ini akan menyelamatkan kamu di
akhirat. Ini adalah penting; ia mesti dilakukan segera ketika masih hidup.
Dunia ini kebun akhirat. Orang yang tidak menanam di sini tidak boleh menuai di
sana . Jadi, bercucuk tanamlah di dalam dunia ini dengan benih yang diperlukan
untuk kesejahteraan hidup di sini dan juga di akhirat.
0 comments:
Post a Comment