19: ZAKAT
Ada dua jenis zakat: zakat
yang diajarkan oleh syariat dan zakat kerohanian yang berlainan sifatnya .
Zakat
yang diajarkan oleh syariat ialah mengeluarkan daripada barang-barang dalam
dunia ini. Setelah ditolak jumlah tertentu yang diperuntukkan sebagai kegunaan
keluarga, satu bahagian dibahagikan kepada orang miskin . Zakat
rohani Bagaimanapun diambil daripada perolehan barangan akhirat. Ia juga
diberikan kepada orang miskin, iaitu miskin kerohanian.
Zakat adalah memberi bantuan
kepada orang miskin. Allah perintahkan: “Sedekah-sedekah itu untuk faqir-faqir dan
miskin”. (Surah at-Taubah, ayat 60).
Apa juga yang diberi untuk tujuan
ini sampai kepada tangan Allah Yang Maha Tinggi sebelum dihantar kepada yang
memerlukannya. Jadi, tujuan zakat dan sedekah ini bukanlah terutamanya untuk
membantu yang memerlukan, kerana Allah adalah Pemberi kepada semua yang
memerlukan, tetapi supaya niat baik pemberi zakat dan sedekah itu diterima oleh
Allah.
Mereka yang hampir dengan Allah
menjadikan ganjaran rohani daripada perbuatan baiknya sebagai kebaktian kepada
orang yang berdosa. Allah Yang Maha Tinggi menyatakan keampunan-Nya
mengampunkan orang-orang yang berdosa mengikut kadar doa, permohonan, pujian,
puasa, sedekah, hajji dan lain-lain kebaikan para hamba-Nya yang berhasrat
mengorbankan ganjaran kerohanian yang mereka harapkan sebagai hasil daripada
ibadat dan ketaatan mereka, Allah dengan kemurahan-Nya menutup dan
menyembunyikan dosa para pendosa sebagai balasan terhadap kebaktian para
hamba-Nya yang baik-baik.
Kemurahan hati hamba-hamba-Nya
yang beriman hingga kepada peringkat mereka tidak memiliki apa-apa lagi, tidak
menyimpan sesuatu apa pun untuk diri mereka, hinggakan tidak ada nama baik dari
kebaikan mereka juga tidak ada harapan untuk balasan akhirat. Orang yang
memasuki jalan ini kehilangan segala-galanya termasuklah kewujudan dirinya
sendiri. Dia menjadi muflis sepenuhnya kerana dia benar-benar murah hati. Allah
mengasihi orang yang murah hati sampai kepada peringkat muflis seluruhnya pada dunia
ini. Nabi s.a.w bersabda, “Orang yang membelanjakan semua yang
dimilikinya dan tidak berharap untuk memiliki apa-apa berada di dalam penjagaan
Allah di dunia dan akhirat”.
Rabiatul Adawiyah berdoa, “Wahai
Tuhan. Berikan semua bahagianku daripada dunia ini kepada orang-orang kafir dan
jika ada bahagianku di akhirat bahagikannya kepada hamba-hamba-Mu yang beriman.
Apa yang aku inginkan dalam dunia ini ialah merindui-Mu dan yang aku inginkan
di akhirat ialah bersama-Mu, kerana manusia dan apa sahaja yang diperolehinya
adalah milik-Mu”.
Allah membalas sehingga sepuluh
kali ganda kepada orang yang bersedekah. “Barangsiapa kerjakan kebaikan maka baginya
(ganjaran) sepuluh kali ganda”. (Surah al-An'aam, ayat 160).
Faedah lain daripada sedekah
ialah kesan penyuciannya. Ia menyucikan harta dan diri seseorang. Jika diri
dibersihkan daripada sifat-sifat ego maka tujuan sedekah atau zakat batin
(kerohanian) tercapai.
Memisahkan seseorang dengan apa
yang dia anggap sebagai miliknya mendatangkan balasan yang berganda di akhirat:
“Siapakah
yang hendak meminjamkan kepada Allah satu pinjaman yang baik lalu Dia gandakan
(ganjaran) baginya, padahal (adalah) baginya ganjaran yang mulia?” (Surah
al-Hadiid, ayat 11).
“Berbahagialah orang yang
membersihkannya (jiwanya)”. (Surah asy-Syams, ayat 9).
Zakat, ‘sedekah yang indah'
adalah perbuatan yang baik, sebahagian daripada yang kamu terima, kebendaan dan
kerohanian. Belanjakanlah kerana Allah, kepada Allah. Walaupun balasan berganda
dijanjikan jangan pula melakukannya kerana balasan tersebut. Berikan zakat dan
sedekah secara mengambil berat, dengan kasih sayang dan kasihan belas bukan
sebagai budi, mengharapkan pujian, membuat penerima merasa terhutang budi dan
terikat.
“Wahai orang-orang yang
beriman. Janganlah kamu batalkan (pahala) sedekah kamu dengan bangkitan dan
gangguan”. (Surah al-Baqarah, ayat 264).
Jangan meminta dan mengharapkan
faedah keduniaan bagi perbuatan baik kamu. Lakukannya kerana Allah semata-mata.
Firman Allah: “Kamu tidak akan dapat (balasan) kebaikan kecuali kamu mendermakan
sebahagian daripada apa yang kamu sayangi, dan sesuatu apa yang kamu dermakan
itu Allah mengetahui akan dia”. (Surah al-‘Imraan, ayat 92).
0 comments:
Post a Comment