16: PENYUCIAN DIRI
Dua jenis penyucian: Pertama
zahir, ditentukan oleh peraturan agama dan dilakukan dengan membasuh tubuh
badan dengan air yang bersih. Keduanya ialah penyucian batin, diperolehi dengan
menyedari kekotoran di dalam diri, menyedari dosanya dan bertaubat dengan
ikhlas . Penyucian batin memerlukan perjalanan
kerohanian dan dibimbing oleh guru kerohanian.
Menurut hukum dan peraturan
agama, seseorang menjadi tidak suci dan wuduk menjadi batal jika keluar sesuatu
dari rongga badan. Ini perlu diperbaharui dengan wuduk. Dalam hal keluar mani
dan darah haid mandi wajib diperlukan. Dalam hal lain, bahagian tubuh yang
terdedah - tangan, lengan, muka dan kaki - mesti dibasuh. Mengenai pembaharuan
wuduk Nabi s.a.w bersabda, "Pada setiap pembaharuan wuduk Allah
perbaharui kepercayaan hamba-Nya yang cahaya iman digilap dan memancar dengan
lebih bercahaya" . Dan, "Mengulangi
bersuci dengan wuduk adalah cahaya di atas cahaya".
Kesucian batin juga boleh hilang,
mungkin lebih kerap daripada kesucian zahir, dengan sifat buruk, buruk
perangai, perbuatan dan sifat yang merosakkan seperti sombong, takabur, menipu,
mengumpat, fitnah, dengki dan marah. Perbuatan secara sedar dan tidak sedar
memberi kesan kepada roh: mulut yang memakan makanan haram, bibir yang
berdusta, telinga yang mendengar umpatan dan fitnah, tangan yang memukul, kaki
yang membawa kepada kejahatan. Zina, yang juga satu dosa, bukan sahaja
dilakukan di atas katil. Nabi s.a.w bersabda, "Mata juga
berzina".
Bila kesucian batin ditanamkan
demikian dan wuduk kerohanian batal, membaharui wuduk demikian adalah dengan
taubat yang ikhlas, yang dilakukan dengan menyedari kesalahan sendiri, dengan
penyesalan yang mendalam disertai oleh tangisan (yang menjadi air yang membasuh
kekotoran jiwa), dengan berazam tidak akan mengulangi kesalahan tersebut,
berhasrat meninggalkan semua kesalahan, dengan memohon keampunan Allah, dan
dengan berdoa agar Dia mencegahnya daripada melakukan dosa lagi.
Sembahyang adalah menghadap
Tuhan. Berwuduk, berada di dalam keadaan suci, menjadi syarat untuk
bersembahyang. Orang arif tahu penyucian zahir sahaja tidak memadai, kerana
Allah melihat jauh ke dalam lubuk hati, yang perlu diberi wuduk dengan cara
bertaubat. Firman Allah: "Inilah apa yang dijanjikan untuk kamu,
untuk tiap-tiap orang yang bertaubat, yang menjaga (batas-batas)". (Surah
Qaaf, ayat 32).
Penyucian tubuh dan wuduk zahir
terikat dengan masa kerana tidur membatalkan wuduk. Penyucian ini terikat
dengan siang dan malam bagi kehidupan di dalam dunia. Penyucian alam batin,
wuduk bagi diri yang tidak kelihatan, tidak ditentukan oleh masa. Ia untuk
seluruh kehidupan - bukan sahaja kehidupan sementara di dunia tetapi juga
kehidupan abadi di akhirat.
0 comments:
Post a Comment