21: HAJI KE MEKAH DAN HAJI ROHANI KE HAKIKAT HATI
Pekerjaan haji menurut
syariat ialah mengunjungi ka'abah di Makkah . Ada beberapa
syarat berhubung dengan ibadat hajji: memakai ihram – dua helai kain yang tidak
berjahit menandakan pelepasan semua ikatan duniawi; memasuki Makkah dalam
keadaan berwuduk; tawaf keliling ka'abah sebanyak tujuh kali tanda penyerahan
sepenuhnya; lari-lari anak dari Safa ke Marwah sebanyak tujuh kali; pergi ke
Padang Arafah dan tinggal di sana sehingga matahari terbenam; bermalam di
Musdalifah; melakukan korban di Mina; meminum air zamzam; melakukan sembahyang
dua rakaat berhampiran dengan tempat Nabi Ibrahim a.s pernah berdiri. Bila
semua ini dilakukan pekerjaan hajji pun sempurna dan balasannya diperakui. Jika
terdapat kecacatan pada pekerjaan tersebut balasannya dibatalkan. Allah Yang
Maha Tinggi berfirman: “Sempurnakan hajji dan umrah kerana Allah”.
(Surah al-Baqarah, ayat 196).
Bila semua itu telah selesai
banyak daripada hubungan keduniaan yang ditegah semasa pekerjaan hajji
dibolehkan semula. Sebagai tanda selesainya pekerjaan hajji seseorang itu
melakukan tawaf terakhir sekali sebelum kembali kepada kehidupan harian.
Ganjaran untuk orang yang
mengerjakan hajji dinyatakan oleh Allah dengan firman-Nya: “Dan
barangsiapa masuk ke dalamnya amanlah ia, dan kerana Allah (wajib) atas manusia
pergi ke rumah itu bagi yang berkuasa ke sana ”. (Surah al-‘Imraan, ayat 97).
Orang yang sempurna ibadat
hajjinya selamat daripada azab neraka. Itulah balasannya.
Pekerjaan hajji kerohanian
memerlukan persiapan yang besar dan mengumpulkan keperluan-keperluan sebelum
memulakan perjalanan. Langkah pertama ialah mencari juru pandu, pembimbing,
guru, seorang yang dikasihi, dihormati, diharapkan dan ditaati oleh orang yang
mahu menjadi murid itu. Pembimbing itulah yang akan membekalkan murid itu bagi
mengerjakan hajji kerohanian, dengan segala keperluannya.
Kemudian dia mesti menyediakan
hatinya. Untuk menjadikannya jaga seseorang itu perlu mengucapkan kalimah
tauhid “La
ilaha illa Llah” dan mengingati Allah dengan menghayati kalimah
tersebut. Dengan ini hati menjadi jaga, menjadi hidup. Ia hendaklah mengingati
Allah dan berterusan mengingati Allah sehingga seluruh diri batin menjadi suci
bersih daripada selain Allah.
Selepas penyucian batin seseorang
perlu menyebutkan nama-nama bagi sifat-sifat Allah yang akan menyalakan cahaya
keindahan dan kemuliaan-Nya. Di dalam cahaya itulah seseorang itu diharapkan
dapat melihat ka'abah bagi hakikat rahsia. Allah memerintahkan Nabi Ibrahim a.s
dan anaknya Nabi Ismail a.s melakukan penyucian ini: “Janganlah
engkau sekutukan Aku dengan sesuatu apa pun dan bersihkan rumah-Ku untuk
orang-orang tawaf, dan yang berdiri, dan yang rukuk, dan yang sujud”. (Surah
al-Hajj, ayat 26).
Sesungguhnya ka'abah zahir
yang ada di Makkah dijaga dengan bersih untuk para pekerja hajji. Betapa lebih
lagi kesucian yang perlu dijaga terhadap ka'abah batin yang ke atasnya hakikat
akan memancar.
Selepas persediaan itu pekerja
hajji batin menyelimutkan dirinya dengan roh suci, mengubah bentuk kebendaannya
menjadi hakikat batin, dan melakukan tawaf ka'abah hati, mengucap di dalam hati
nama Tuhan yang kedua- “ALLAH”, nama yang khusus bagi-Nya. Ia bergerak dalam
bulatan kerana laluan rohani bukan lurus tetapi dalam bentuk bulatan. Akhirnya
adalah permulaannya.
Kemudian ia pergi ke Padang
Arafah hati, tempat batin yang merendahkan diri dan merayu kepada Tuhannya,
tempat yang diharapkan seseorang dapat mengetahui rahasia “La
ilaha illa Llah”, “Yang Maha Esa, tiada sekutu”. Di sana ia berdiri mengucapkan
nama ketiga “HU” – bukan sendirian tetapi bersama-Nya kerana
Allah berfirman: “ Dia
beserta kamu walau di mana kamu berada”. (Surah al-Hadiid, ayat 4).
Kemudian dia mengucapkan nama
keempat “HAQ”, nama bagi cahaya Zat Allah – dan kemudian nama kelima “HAYYUN” –
hidup Ilahi tang darinya hidup yang sementara muncul. Kemudian dia menyatukan
nama Ilahi Yang Hidup Kekal Abadi dengan nama keenam “QAYYUM” – Yang Wujud
Sendiri, yang bergantung kepada-Nya segala kewujudan. Ini membawanya kepada
Musdalifah yang di tengah-tengah hati.
Kemudian dia di bawa ke Mina,
rahasia suci, intipati atau hakikat, di mana dia ucapkan nama yang ke tujuh “QAHHAR”
– Yang Meliputi Semua, Maha Keras . Dengan kekuasaan nama
tersebut dirinya dan kepentingan dirinya dikorbankan. Tabir keingkaran
ditiupkan dan pintu kebatilan diterbangkan.
Mengenai tabir yang memisahkan
yang dicipta dengan Pencipta, Nabi s.a.w bersabda, “Iman
dan kufur wujud pada tempat di sebalik arasy Allah. Keduanya adalah hijab
memisahkan Tuhan daripada pemandangan hamba-hamba-Nya. Satu adalah hitam dan
satu lagi putih”.
Kemudian kepada roh suci
dicukurkan daripada segala sifat kebendaan.
Dengan membaca nama Ilahi ke
delapan “WAHHAB”
– Pemberi kepada semua, tanpa batas, tanpa syarat – dia memasuki daerah suci
bagi Zat. Kemudian dia mengucapkan nama kesembilan “FATTAH” – Pembuka segala
yang tertutup.
Memasuki ke tempat menyerah diri
di mana dia tinggal mengasingkan diri, hampir dengan Allah, dalam keakraban
dengan-Nya dan jauh daripada segala yang lain, dia mengucapkan nama yang ke
sepuluh “WAHID”
– Yang Esa, yang tiada tara , tiada sesuatu menyamai-Nya. Di sana dia mula
menyaksikan sifat Allah “SAMAD” – Yang menjadi sumber kepada segala sesuatu. Ia
adalah pemandangan tanpa rupa, tanpa bentuk, tidak menyerupai sesuatu.
Kemudian tawaf terakhir bermula,
tujuh pusingan yang dalam tempoh tersebut dia mengucapkan enam nama-nama yang
terakhir dan ditambah dengan nama ke sebelas “AHAD” – Yang Esa. Kemudian
dia minum daripada tangan keakraban Allah.
“Dan Tuhan mereka membuat mereka meminum minuman asli”. (Surah Insaan, ayat 21) .
“Dan Tuhan mereka membuat mereka meminum minuman asli”. (Surah Insaan, ayat 21) .
Cawan yang di dalamnya minuman
ini disediakan ialah nama yang kedua belas “SAMAD” – Sumber, yang menunaikan segala hajat,
satu-satunya tempat meminta tolong.
Dengan meminum dari sumber ini
dia melihat semua tabir tersingkap daripada wajah keabadian. Dia mendongak
melihat kepada-Nya dengan cahaya yang datang daripada-Nya. Alam ini tiada
persamaan, tiada bentuk, tiada rupa. Ia tidak mampu diterangkan, diibaratkan,
alam yang tidak ada mata pernah melihatnya, tiada telinga pernah mendengarnya dan
tiada hati manusia yang ingat. Kalam Allah tidak didengar dengan bunyi atau
dilihat dengan tulisan. Kesukaan yang tiada hati manusia boleh merasai ialah
kelazatan menyaksikan hakikat Allah dan mendengar percakapan-Nya: “Kecuali
orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal salih, maka mereka itu
Allah akan tukarkan kejahatan-kejahatan mereka kepada kebaikan-kebaikan” . (Surah
al-Furqaan, ayat 70).
Kemudian pekerja hajji itu
dibebaskan daripada semua perbuatan yang daripada dirinya dan bebas daripada
ketakutan dan dukacita. “Ketahuilah sesungguhnya pembantu-pembantu
Allah, tidak ada ketakutan atas mereka dan tidak akan mereka berdukacita”.
(Surah Yunus, ayat 62).
Akhirnya tawaf selamat tinggal
dilakukan dengan mengucapkan semua nama-nama Ilahi.
Kemudian pekerja hajji kembali ke
rumahnya, ke tempat asalnya, bumi suci di mana Allah ciptakan manusia dalam
bentuk yang paling baik dan paling indah. Ketika kembalinya itu dia mengucapkan
nama kedua belas “SAMAD”, perbendaharaan yang daripadanya semua keperluan
makhluk dibekalkan. Itu adalah alam kehampiran Allah. Itulah tempat kediaman
pekerja hajji batin, dan ke sanalah mereka kembali.
Hanya itulah yang dapat
diceritakan sekadar lidah mampu ucapkan dan akal mampu terima. Selepas itu
tiada berita yang boleh diberi kerana selebih daripada itu tidak boleh
disaksikan, tidak dimengerti, tidak mampu difikir atau diterangkan. Nabi s.a.w
bersabda, “ Ada ilmu yang tinggal tetap seumpama khazanah yang tertanam.
Tiada siapa yang boleh mengetahuinya dan tiada siapa boleh mendapatkannya
melainkan mereka yang menerima ilmu Ilahi”, tetapi bila
diperdengarkan kewujudan ilmu demikian, yang ikhlas tidak menafikannya.
Manusia yang memiliki pengetahuan
biasa mengumpulkan apa yang boleh dikumpulkan di permukaan. Orang yang memiliki
ilmu ketuhanan mengeluarkan dasarnya. Hikmah kebijaksanaan orang arif adalah
sebenar-benar rahsia bagi Allah Yang Maha Tinggi. Tiada siapa yang tahu apa
yang Dia tahu kecuali Dia sendiri. “Sedang mereka tidak meliputi (sedikit pun)
daripada ilmu-Nya kecuali apa yang dikehendaki-Nya. Pengetahuan-Nya meliputi
langit-langit dan bumi, dan memelihara keduanya tidaklah berat bagi-Nya” .
(Surah al-Baqarah, ayat 255).
Mereka yang dirahmati, yang
dikurniakan sebahagian ilmu-Nya adalah nabi-nabi dan kekasih-Nya yang berjuang
untuk datang hampir kepada-Nya. Firman-Nya: “Dia mengetahui rahsia dan yang lebih
tersembunyi”. (Surah Ta Ha, ayat 7). “Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia.
Kepunyaan-Nya nama-nama yang sangat baik”. (Surah Ta Ha, ayat 8).
Dan Allah paling mengetahui.
0 comments:
Post a Comment