18: PENYUCIAN INSAN SEMPURNA, YANG TELAH
MENGASINGKAN DIRINYA DAN MEMBEBASKAN DIRINYA DARIPADA SEGALA URUSAN DUNIA.
Tujuan penyucian itu ada dua
jenis: Pertama
untuk membolehkannya masuk kepada alam sifat-sifat Ilahi dan kedua untuk
mencapai makam Zat.
Penyucian untuk memasuki alam
sifat-sifat Ilahi memerlukan pelajaran yang membimbing seseorang di dalam
proses penyucian cermin hati daripada gambaran haiwan manusia dengan cara rayuan,
ucapan atau memikirkan dan mendoakan pada nama-nama Ilahi. Ucapan itu menjadi
kunci, perkataan rahsia yang membuka hati. Hanya bila mata itu terbuka
baharulah boleh dia melihat sifat-sifat Allah yang sebenar. Kemudian mata itu
melihat gambaran kemurahan Allah, nikmat, rahmat dan kebaikan-Nya di atas
cermin hati yang murni itu. Nabi s.a.w bersabda, “Mukmin adalah cermin bagi
samanya mukmin” . Juga sabda baginda, “Orang
berilmu membuat gambaran sementara orang arif menggilap" . Juga
sabda baginda, “Orang berilmu membuat gambaran sementara orang
arif menggilap cermin hati yang menangkap kebenaran." Bila
cermin hati sudah dicuci sepenuhnya dengan digilap terus menerus secara
menzikirkan nama-nama Allah, seseorang itu mendapat jalan kepada pengetahuan
dan sifat Ilahi. Penyaksian terhadap pemandangan ini hanya mungkin berlaku di
dalam hati.
Penyucian yang bertujuan
mencapai Zat Ilahi adalah melalui terus menerus mentafakurkan kalimah tauhid.
Ada tiga nama keesaan, tiga yang akhir daripada dua belas nama-nama Ilahi.
Nama-nama tersebut ialah:
LA ILAHA ILLA LLAH : Tiada
yang ada kecuali Allah
ALLAH : Nama
khusus bagi Tuhan
HU : Allah
yang bersifat melampaui sesuatu
HAQ : Yang
sebenarnya (Hakikat)
HAYYUN : Hidup
Ilahi yang kekal abadi
QAYYUM : Berdiri dengan sendiri yang
segala kewujudan bergantung kepada-Nya
QAHHAR : Yang Maha Memaksa, meliputi segala sesuatu
WAHHAB : Pemberi tanpa batas
WAHID : Yang Esa
AHAD : Esa
SAMAD : Sumber kepada segala sesuatu
Nama-nama ini mestilah diseru bukan dengan lidah biasa tetapi dengan
lidah rahsia bagi hati. Hanya dengan itu mata hati melihat cahaya keesaan. Bila
cahaya suci Zat menjadi nyata semua nilai-nilai kebendaan lenyap, semua menjadi
tiada apa-apa. Ini adalah suasana menghabiskan sepenuhnya segala perkara,
kekosongan yang melampaui semua kekosongan. Kenyataan cahaya Ilahi memadamkan
semua cahaya: “Tiap-tiap sesuatu akan binasa kecuali Zat-Nya”. (Surah Qasas, ayat
88). “Allah hapuskan apa yang Dia kehendaki dan Dia tetapkan apa yang Dia
kehendaki, kerana pada sisi-Nya ibu kitab”. (Surah ar-Ra'd, ayat 39).
Bila semuanya lenyap apa yang
tinggal selamanya adalah roh suci. Ia melihat dengan cahaya Allah. Ia
melihat-Nya, Dia melihatnya. Di sana tiada gambaran, tiada persamaan di dalam
melihat-Nya: “Tiada sesuatu yang serupa dengan-Nya. Dia mendengar dan melihat”. (Surah
asy-Syura, ayat 11).
Apa yang ada hanyalah cahaya
murni yang mutlak. Tidak ada apa untuk diketahui lebih dari itu. Itu adalah
alam fana diri. Tiada lagi fikiran untuk memberi khabar berita. Tiada lagi
sesiapa melainkan Allah yang memberi khabar berita. Nabi s.a.w bersabda, “ Ada
ketika aku sangat hampir dengan Allah, tiada siapa, malaikat yang hampir atau
nabi yang diutus, boleh masuk antara aku dengan-Nya” . Ini
adalah suasana pemisahan di mana seseorang itu telah membuang semua perkara
kecuali Zat Allah. Itu adalah suasana keesaan. Allah memerintahkan melalui
Rasul-Nya, “Pisahkan diri kamu dari segala perkara dan carilah keesaan”.
Pemisahan itu bergerak daripada
semua yang keduniaan kepada kekosongan dan ketiadaan. Hanya dengan itu kamu
memperolehi sifat-sifat Ilahi. Itulah yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w apabila
bersabda, “Sucikan diri kamu, benamkan diri kamu dalam sifat-sifat yang suci
(sifat Ilahi)”.
0 comments:
Post a Comment